Inkues Adib: Balai bomba Subang Jaya teruskan solat hajat, bacaan Yasin

No Image Caption
A
A
A

SUBANG JAYA - Solat hajat dan bacaan Yasin sempena keputusan inkues anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim esok, tetap diadakan di balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang Jaya malam ini.

Solat hajat yang dibuat setelah selesai solat Maghrib berjemaah sejak sebulan lalu itu secara keseluruhannya bertujuan memohon keputusan inkues berkenaan berjalan lancar esok.

Solat hajat dan bacaan Yasin turut diadakan di kampung halaman Allahyarham bertempat di rumahnya serta di Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau, Kedah.

Keputusan inkues di Mahkamah Shah Alam itu juga pastinya ditunggu-tunggu oleh rakyat negara ini setelah prosiding inkues berkenaan berjalan sejak Februari lalu.

Mahkamah Koroner pada 21 Ogos lalu menetapkan 27 September sebagai tarikh keputusan prosiding inkues berkenaan selepas meneliti semua keterangan yang diambil daripada saksi sebelum ini.

Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib yang bermula pada 11 Februari lalu telah memanggil 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar yang berlangsung selama 41 hari selain 137 eksibit dikemukakan.

Muhammad Adib 24, anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Subang Jaya cedera parah ketika bertugas dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 di sini pada 27 November 2018.

Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari menerima rawatan.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan laporan akhbar hari ini, bapa serta ibu Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid, 63 dan Asma Aziz, 51 akan turut berada di ibu negara bagi mengikuti keputusan inkues berkenaan.