Gabung universiti: UniSZA, UMT mulai positif

No Image Caption
A
A
A

KUALA NERUS - Cadangan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kini menampakkan penerimaan positif daripada kedua-dua pihak, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir.

Beliau berkata ​​​​​​, pihak pengurusan tertinggi kedua-dua universiti berkenaan sudah mula mendapat gambaran mengenai model universiti baharu yang akan terhasil melalui proses penggabungan itu.

"Kita nampak kedua-dua universiti telah memberi maklumat balas yang sangat positif di mana mereka telah melihat model bagaimanakah universiti yang terhasil nanti selepas bergabung,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Karnival Bahasa Inggeris (HE ELCA) 2019 di UMT di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar dan Naib Canselor UniSZA, Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Mengulas lanjut Siti Hamisah berkata, bengkel pertama selama dua hari bermula hari ini bagi mendengar mengenai harapan, impian serta citarasa kedua-dua belah mengenai universiti baharu yang akan diwujudkan melalui penggabungan itu.

Ia dihadiri pelbagai pihak termasuk daripada Jabatan Pendidikan Tinggi, naib canselor kedua-dua universiti, pengerusi universiti, pengurusan tertinggi seperti pendaftar, kakitangan akademik, kakitangan bukan akademik serta pelajar.

Sementara itu Nor Aieni berkata, beliau akur dengan cadangan kerajaan untuk memperkasakan kedua-dua universiti tetapi akan terus memperkasa bidang utama seperti maritim yang telah mengambil masa lebih 12 tahun untuk digerakkan.

Beliau berkata, pihaknya berharap supaya penggabungan tersebut tidak akan menjejaskan reputasi UMT dalam beberapa bidang utama sebaliknya akan memperkasakan aspek-aspek lain.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan kemukakan cadangkan penggabungan kepada KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) bermula dengan bengkel pertama ini dan harap ia dapat berjalan secara positif," katanya.

Pendapat sama turut diutarakan oleh Hassan Basri dan berharap gabungan dua universiti itu melonjakkan lagi kecemerlangan bidang utama masing-masing.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata, kerajaan negeri akan memberi pandangan dan maklumat balas secara rasmi secepat mungkin mengenai penggabungan itu kepada KPM.

"Semalam, saya bertemu dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di Putrajaya dan beliau memaklumkan jawatankuasa KPM akan bertemu dengan kerajaan negeri untuk menyalurkan maklumat dan mendapatkan maklumat balas daripada kerajaan negeri mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di Jabi di sini.

Beliau berkata, walaupun kedua-dua universiti itu telah bersetuju secara prinsip untuk bergabung, prosesnya akan memakan masa yang lama kerana ia adalah penggabungan kali pertama Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia.

"Tiada model yang pernah wujud sebelum ini untuk dijadikan contoh...namun saya percaya pihak kementerian pasti mempunyai cara untuk menguruskannya.

“Kita ada pandangan tersendiri dan saya percaya sepanjang proses (merangka penggabungan) ini, kerajaan negeri akan terus bagi pandangan kepada jawatankuasa tersebut pada waktu yang akan ditetapkan nanti," katanya. - Bernama