Nasir terkilan Amy tak sempat beri penghormatan terakhir kepada Yazit

Nasir (tengah) sebak sewaktu ditemuramah pemberita di Masjid Salehuddin Al Ayubi, Taman Melati, Kuala Lumpur tengah hari tadi.
Nasir (tengah) sebak sewaktu ditemuramah pemberita di Masjid Salehuddin Al Ayubi, Taman Melati, Kuala Lumpur tengah hari tadi.
A
A
A

[VIDEO] PEMAIN gitar bass Kumpulan Search, Nasir Taib mengakui terkilan penyanyi utama kumpulan itu, Suhaimi Abdul Rahman atau dikenali Amy Search tidak sempat pulang dari Jakarta, Indonesia bagi memberi penghormatan terakhir kepada pemain dram, Allahyarham Yazit Ahmad yang meninggal dunia pagi tadi.

Nasir yang juga pengasas utama kumpulan rock terkemuka tanah air bersama Allahyarham Yazit berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Amy hari ini menyuarakan permohonan maaf kepada beliau, ahli Kumpulan Search lain dan ahli keluarga Allahyarham kerana tidak sempat pulang disebabkan tuntutan kerja.

Menurutnya, Amy juga berasa terkilan kerana tidak dapat bersama dengan seluruh ahli kumpulan Search bagi menziarahi jenazah Allahyarham Yazit yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah, Taman Selasih di sini petang tadi.

"Saya berpesan kepada Amy sekiranya sempat pulang, maka cubalah pulang kerana kesemua ahli kumpulan Search sudah bersaudara sejak 40 tahun lalu.

"Sekiranya sempat, baliklah dan jika tidak, saya anggap ini ketentuan takdir. Apapun, selama 40 tahun kami susah senang bersama, setiap ahli keluarga Search tiada galang ganti dan saya tidak dapat terima apabila kami tidak lengkap," katanya dengan nada sebak.

[LIVE] Jenazah bekas pemain drum Kumpulan Search, Allahyarham Yazit dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah, Taman Selasih, lapor Wartawan Nasional, Khairil Anwar Mohd Amin dan Mohd Ridzuan Abu Hassan.

Posted by Sinar Harian on Thursday, September 26, 2019

Nasir berkata, selain beliau, anggota Kumpulan Search lain seperti Kid (Hamzah Abdul Taib) dan Nordin (Taib) sudah menziarahi Allahyarham sewaktu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam semalam.

Menurutnya, Allahyarham Yazit sangat rapat dengannya dan sangat mengenali hati budi masing-masing disebabkan keserasian permainan muzik antara mereka berdua selaku pemain gitar bass dan dram.

Artikel Berkaitan:

"Kehilangannya memberi kesan besar dalam hidup saya kerana Allahyarham Yazit merupakan tangan kanan saya sepanjang memperjuangkan muzik Kumpulan Search sejak 40 tahun lalu.

"Sama ada kami akan menganjurkan satu persembahan 'tribute' Kumpulan Search kepada Allahyarham Yazit, saya akan berbincang dengan semua ahli kumpulan untuk menjayakan memandangkan kami tidak pernah mengenepikan beliau dari kumpulan ini," katanya.

Nasir turut memberi jaminan hak royalti Allahyarham Yazit akan terus disalurkan kepada ahli keluarganya meskipun perancangan Kumpulan Search untuk dijenamakan dalam bentuk perniagaan berjaya direalisasikan kelak.

"Kami tidak pernah mengisytiharkan Allahyarham Yazit bukan ahli Search dan segala hak beliau akan terus disampaikan kepada waris keluarganya sebagaimana dilakukan kami sebelum ini," katanya.

Sebelum ini, Allahyarham Yazit dikejarkan ke HKL selepas mengadu sesak nafas kira-kira jam 3.30 petang, Selasa lalu sebelum dirawat di ICU hospital berkenaan.

Allahyarham Yazit disahkan meninggal dunia pada jam 11.53 pagi selepas doktor menghentikan alat bantuan pernafasan.

Yazit sebelum ini pernah beberapa kali ke hospital selepas mengalami sesak nafas selain menghidap penyakit paru-paru berair dan kerosakam buah pinggang.

Kumpulan Search ditubuhkan Yazit yang turut bertindak sebagai pemain dram kumpulan itu pada tahun 1982.

Kumpulan rock terkemuka negara terkenal dengan lagu Isabella, Fantasia Bulan Madu, Rozana, Pawana dan Isi dan Kulit.

Kumpulan rock legenda ini juga telah menghasilkan lebih 20 album studio yang laris terjual sekaligus menjadikan mereka antara kugiran rock terunggul negara sejak tiga abad lalu.

ARTIKEL BERKAITAN Amy Search sampaikan ucapan takziah