Gojek lancar perkhidmatan penstriman video

No Image Caption
A
A
A

JAKARTA - Syarikat perkhidmatan teksi motosikal di Indonesia, Gojek memperkenalkan perkhidmatan penstriman video memaparkan filem dan rancangan TV, GoPlay.

"Kami lihat ada jurang di mana orang mahu menonton kandungan berkualiti tinggi, namun pilihan yang ada adalah di panggung wayang.

"Dengan GoPlay, kami berada di sini untuk mengisi jurang dan menjadi jambatan kepada jutaan penonton mudah alih kepada industri filem Indonesia," kata Ketua Eksekutif Kumpulan Hiburan, Edy Sulistyo merujuk kepada platform baharu video-streaming.

Perkhidmatan diasaskan pada 2010 yang menyediakan aplikasi sehenti di mana pengguna boleh membuat bayaran dalam talian itu turut menawarkan perkhidmatan lain seperti memesan makanan.

Gojek merintis cita-cita untuk menjadi bahagian lebih besar dalam pasaran Asia Tenggara bagi menyaingi pesaing, Grab berpusat di Singapura yang kini menguasai industri tersebut.

"Penembusan mudah alih di Indonesia telah mencapai 54 peratus atau kira-kira 130 juta hingga 140 juta pengguna. Jadi, potensinya adalah sangat besar," ujarnya.

Bayaran untuk langganan di platform penstriman video mudah alih, GoPlay itu bermula pada 89,000 Rupiah (RM26) sebulan.

Walaupun pesaing seperti Netflix ada menghasilkan kandungan tempatan, Sulistyo percaya keluasan dan kualiti filem dan siri TV yang ditawarkan Gojek termasuk filem pendek berdurasi tiga hingga lima minit akan memberi kelebihan kepada mereka. - Agensi

Artikel Berkaitan: