Malaysia, Pakistan tubuh jawatankuasa bersama

Dr Mahathir bersama Imran Khan ketika mengadakan perbincangan dua hala, semalam. FOTO: BERNAMA
Dr Mahathir bersama Imran Khan ketika mengadakan perbincangan dua hala, semalam. FOTO: BERNAMA
A
A
A

NEW YORK - Malaysia dan Pakistan akan menubuhkan satu jawatankuasa bersama dalam usaha untuk memperkemaskan lagi peluang perdagangan dan pelaburan di kedua-dua negara.

Ini antara hasil daripada perbincangan dua hala antara Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya dari Pakistan, Imran Khan di sini semalam.

"Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa bersama bagi mengenalpasti peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia dan Pakistan,” kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Twitter.

Mohamed Azmin, yang turut hadir semasa perbincangan itu bersama-sama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kementeriannya akan mengambil tindakan segera bagi menerajui inisiatif ini.

Dr Mahathir dan Imran Khan berada di bandaraya ini untuk menghadiri Sesi Perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu ke-74.

Sementara itu, Malaysia, Pakistan dan Turki membuat keputusan untuk menubuhkan bersama sebuah rangkaian berbahasa Inggeris untuk menangani isu Islamophobia dan menjelaskan mengenai agama Islam.

Perkara ini dinyatakan oleh Imran Khan dalam akaun Twitternya.

"Presiden Erdogan, Mahathir dan saya sendiri mengadakan mesyuarat hari ini (Rabu) di mana kami membuat keputusan bahawa tiga negara ini akan memulakan bersama satu rangkaian berbahasa Inggeris bagi menangani cabaran yang dibawa oleh Islamophobia dan penjelasan mengenai agama Islam yang agung ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: