Sindiket penyeludupan migran warga Myanmar tumpas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penyeludupan migran warga Myanmar yang menyelusup masuk ke dalam negara melalui Sungai Golok, Kelantan.

Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Cheong Koon Kock berkata, operasi bertindak dalam beberapa siri serbuan pasukan Cawangan Khas di Lembah Klang, Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan bermula Ahad lalu sehingga semalam dengan tangkapan seramai 77 individu.

Menurutnya, semakan mendapati enam adalah warga tempatan yang berperanan sebagai ketua, pembantu serta agen kemasukan migran, manakala 71 warga Myanmar itu dengan lima daripadanya dikesan turut berperanan sebagai agen.

"Tangkapan ini juga susulan kejayaan polis menembak mati seorang lelaki dipercayai anggota sindiket penyeludupan migran di Jalan Bandar 10 Puchong, Selangor baru-baru ini.

"Dalam kejadian itu, suspek seorang lelaki tempatan memandu Perodua Alza bersama lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dikatakan cuba merempuh anggota polis yang cuba menahannya menyebabkan anggota polis terbabit terpaksa melepaskan dua das tembakan mengenainya," katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya, sindiket yang dipercayai aktif sejak April lalu itu menjadikan Malaysia sebagai destinasi membawa masuk migran melalui jalan tidak sah dari Golok, Kelantan.

Katanya, migran berkenaan kemudian dihantar ke beberapa negeri dan rata-rata mereka akan bekerja dalam sektor perladangan.

"Siasatan awal kita juga percaya sindiket ini juga terlibat dalam penjualan dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, suspek yang terbabit sebagai dalang dan agen itu disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), manakala warga Myanmar itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.