X

Kindly register in order to view this article
!

Bukti Trump minta 'bantuan' Presiden Ukraine

Ringkasan perbualan telefon antara Trump dan Zelensky pada 25 Julai lalu didedahkan semalam.
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sememangnya ada meminta rakan sejawatannya di Ukraine, Volodymyr Zelensky untuk menyiasat bekas Timbalan Presiden, Joe Biden dan anak lelakinya.

Perkara itu didedahkan menerusi transkrip ringkasan perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin itu pada 25 Julai lalu yang dikeluarkan pentadbiran Trump semalam sehari selepas Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi mengumumkan siasatan rasmi akan dilancarkan terhadap jutawan hartanah terbabit.

Pelosi turut mengarahkan enam jawatankuasa untuk meneruskan siasatan terhadap Trump yang didakwa melakukan pengkhianatan terhadap sumpah jawatan, keselamatan dan integriti pilihan raya.

Menurut Jabatan Kehakiman, Trump dan Zelensky berbual tentang tuduhan rasuah melibatkan anak lelaki Biden.

Jutawan hartanah itu kemudiannya meminta perkara tersebut disiasat dan dipersetujui pemimpin berusia 41 tahun terbabit.

Menerusi perbualan selama 30 minit itu juga, Trump turut menyarankan Zelensky bekerjasama dengan Peguam Negara, William Barr dan peguam peribadinya, Rudolph Giuliani.

Panggilan itu dibuat selepas Trump mengarahkan Washington supaya membekukan dana bantuan AS kepada Ukraine berjumlah kira-kira AS$390 juta (RM1.6 bilion).

Demokrat telah menuduh Trump meminta bantuan Ukraine untuk cuba memburuk-burukkan Biden yang merupakan calon utama parti tersebut dalam Pilihan Raya Presiden 2020.

Difahamkan, siasatan rasmi tersebut boleh membawa kepada perbicaraan di Senat untuk menentukan sama ada Trump akan dipecat atau tidak atas tindakannya itu.

Trump dihimpit skandal sama sejak memegang jawatan di Rumah Putih pada 2016 dan Demokrat pernah mempertimbangkan langkah sama terhadap beliau berhubung campur tangan Rusia dalam Pilihan Raya Presiden 2016. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!