Treler bawa cecair kimia terbalik, bomba operasi 24 jam

Operasi 24 jam dilakukan anggota bomba di lokasi kejadian.
Operasi 24 jam dilakukan anggota bomba di lokasi kejadian.
A
A
A

BAGAN SERAI - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak beroperasi 24 jam berikutan kerja pemindahan cecair mudah bakar dalam sebuah treler yang terbalik di Kampung Parit Mentara 3, semalam belum dapat dilakukan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM negeri, Mohamad Yunus Abu berkata, pihak syarikat tidak banyak membantu dalam tindakan memindahkan bahan tersebut ke tangki atau lori lain.

Malah menurutnya, kerja-kerja pengalihan treler juga tidak dapat dilakukan kerana pihak kren tidak mahu mengambil risiko bekerja pda waktu malam.

"Sebagai tindakan susulan, kita telah mengalirkan air ke dalam tangki lori itu bagi memastikan cecair kimia terbabit berada dalam keadaan terlarut.

"Tindakan ini telah dipersetujui bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertujuan mengurangkan tahap nyalaan atau sambar terhadap bahan itu," katanya.

JBPM Perak mengalirkan air ke dalam tangki lori itu bagi memastikan cecair kimia terbabit berada dalam keadaan terlarut.
JBPM Perak mengalirkan air ke dalam tangki lori itu bagi memastikan cecair kimia terbabit berada dalam keadaan terlarut.

Beliau berkata, operasi menyelamat dan kawalan akan dilakukan berterusan sehingga bahan terbabit benar-benar larut dan tidak mendatangkan risiko bahaya lain.

"JBPM akan beroperasi 24 jam sehinggalah pengalihan kenderaan ini dilakukan, dijangka kerja-kerja pengalihan bermula jam 9 pagi ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit Mentara 3, Halmi Omar berkata, tiada arahan baru untuk mengosongkan rumah setakat ini menjadikan mereka yang berpindah kekal tiga keluarga melibatkan 10 orang.

Katanya, semua penduduk memberikan kerjasama baik dalam hal itu dengan mematuhi setiap arahan diberikan pihak berkuasa.

"Kita harap perkara ini dapat diselesaikan segera memandangkan laluan itu merupakan jalan utama penduduk ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah," katanya.

Sementara itu, pasukan Sahabat Parlimen dari Pusat Khidmat Parlimen Bagan Serai melancarkan 'Op Burger' iaitu sumbangan makanan ringan berupa burger serta minuman bagi meraikan dan menghargai petugas yang bertungkus lumus dalam operasi menyelamat dan mengalihkan treler itu, malam tadi.

Tindakan awal telah diambil JBPM dengan melakukan proses penyejukan di kawasan sekeliling untuk mengurangkan risiko berlakunya kebakaran.
Tindakan awal telah diambil JBPM dengan melakukan proses penyejukan di kawasan sekeliling untuk mengurangkan risiko berlakunya kebakaran.

Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi semalam, sebuah treler membawa muatan 25,500 liter cecair kimia jenis Acetone Thinner terbabas sendiri dan masuk ke dalam parit di sebelah kanan jalan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Pulau Pinang, tersalah laluan akibat menggunakan aplikasi mudah alih untuk navigasi jalan.

Siasatan mendapati, berlaku kebocoran dari tangki menyebabkan cecair dibawa mengalir keluar dan masuk ke tali air.

Tindakan awal telah diambil JBPM dengan melakukan proses penyejukan di kawasan sekeliling untuk mengurangkan risiko berlakunya kebakaran.