Penggiat seni di Kelantan perlu kreatif

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri berharap penggiat seni di Kelantan tidak menjadikan peraturan hiburan sebagai halangan untuk mengembangkan bakat kesenian mereka.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sebaliknya penggiat seni negeri diminta untuk lebih kreatif dalam persembahan terutamanya melibatkan teater dan sebagainya.

"Kita ada garis panduan yang lengkap, saya rasa peraturan enakmen hiburan ini tidak menghalang mereka berseni. Saya pernah beritahu dalam berseni kita mesti kreatif. Jangan jadikan peraturan itu sebagai halangan untuk kita bergiat.

"Saya ambil contoh di Iran, dia buat peraturan yang ketat dari segi drama, persembahan dan filem. Tetapi filem Iran berkembang dengan baik dan mencapai anugerah antarabangsa.

"Maknanya, seniman atau artis mesti kreatif, itu yang penting. Jangan kata kita tidak boleh berseni sebab peraturan. Itu tidak betul," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Mohd Amar berkata, sehingga kini kerajaan Kelantan tidak membenarkan wanita untuk berteater kecuali penonton dan pengunjungnya adalah juga daripada kaum wanita.

Mengulas lanjut, ketika ditanya mengenai persembahan Mak Yong, Mohd Amar berkata, ia merupakan persembahan yang mempunyai sifat tersendiri, sama seperti wayang kulit.

"Macam wayang kulit, kalau kita boleh pisahkan unsur-unsur yang bertentangan dengan Islam maka kita tidak ada masalah. Mak Yong pun kalau boleh diislamkan, buang unsur-unsur yang tidak sesuai.

Artikel Berkaitan:

"Penceritaannya kita ubah sedikit, tidak ada masalah. Pejabat Mufti sudah keluarkan surat kebenaran apabila dia melihat satu persembahan Mak Yong yang diubahsuai maka dia memberi lampu hijau kepada persembahan itu.

"Jadi ikut sajalah yang itu, tidak jadi masalah. Mereka sudah menilai dalam semua aspek," katanya.

Ketika ditanya adakah kerajaan negeri akan menyokong Mak Yong sebagai produk pelancongan sekiranya ia mendapat persetujuan pejabat Mufti, Mohd Amar berkata, penggiat seni tersebut perlu menonjolkan kesungguhan mereka untuk melaksanakannya.

"Kalau mereka boleh aktif dengan peraturan yang dikenakan kerajaan maka tidak ada masalah. Kita dah beri kebenaran, itu satu sokongan awal dan cukup besar.

"Dulu bila kita haram, bukan haram mutlak, Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz sebut kena betulkan mengikut kaedah Islam.

"Macam isu pemakaian, dalam Islam syaratnya menutupi aurat, bagaimana corak dan reka bentuk fesyen atas kita sendiri untuk buat macam mana. Itu sahaja. Benda mudah sahaja," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!