Bahasa Melayu mampu jadi antara bahasa komunikasi global

Mohd Ghazali (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu kepada Profesor Dr Saedah Siraj (dua, kanan) pada Majlis Sambutan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2019, di sini kelmarin
Mohd Ghazali (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu kepada Profesor Dr Saedah Siraj (dua, kanan) pada Majlis Sambutan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2019, di sini kelmarin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bahasa Melayu berpotensi menjadi antara bahasa komunikasi utama di peringkat antarabangsa.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Ghazali Abas berkata, ini kerana daripada 6,000 bahasa yang dituturkan di seluruh dunia, sebanyak 25 daripadanya dikenal pasti sebagai bahasa yang sangat berpengaruh di dunia dan bahasa Melayu disenaraikan berada di tangga ke-10.

Menurutnya, globalisasi yang melanda sejak awal abad ke-16 memberi kesan kepada bahasa Melayu dari segi peristilahan yang diubah, dicorak dan diperkaya tetapi tetap mengekalkan jati asalnya.

Katanya, keadaan itu menunjukkan bahasa Melayu dinamik dan mudah dilentur sesuai dengan peredaran zaman.

"Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berkait rapat dengan Dasar Bahasa Kebangsaan turut menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.

"Sehingga kini bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling praktikal dan termaktub dalam Perlembagaan Negara serta Dasar Pendidikan Negara sebagai bahasa ilmu.

"Tidak dinafikan keupayaan dan kejayaan bahasa Melayu sebagai wahana peradaban melalui pendidikan dapat melahirkan idea dan kreativiti yang boleh mencorakkan identiti bangsa serta negara Malaysia untuk membangun dan memajukan negara, seterusnya pada peringkat global," katanya yang berucap mewakili Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada Majlis Sambutan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2019 di IPG Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai di sini kelmarin.

Justeru katanya, rakyat yang cintakan bahasa Melayu harus mempertahankan bahasa dan persuratan yang digunakan dalam apa juga medium komunikasi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain sektor awam, sektor swasta juga disarankan mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan perniagaan dan pengurusan, khususnya yang melibatkan masyarakat.

"Sama-samalah kita berganding bahu dan bersikap positif dalam menjayakan usaha memperluas penggunaan bahasa kebangsaan di Malaysia," katanya.

Sementara itu, mengulas majlis sambutan yang diadakan, Mohd Ghazali berkata, ia merupakan program tahunan di bawah seliaan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan (Sektor Pendidikan) yang bertujuan mendidik masyarakat berbilang kaum di Malaysia supaya memartabatkan dan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Saya berharap semua kementerian akan menyahut saranan kerajaan dengan melaksanakan program Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan di peringkat masing-masing sepanjang tahun ini," katanya.

Turut diberi pengiktirafan pada majlis tersebut ialah Profesor Dr Saedah Siraj, 65, yang menerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu.