Inkues Adib: Bomba buat solat hajat

Anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya mengadakan solat hajat selepas solat Maghrib secara berjemaah sejak sebulan lalu.
Anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya mengadakan solat hajat selepas solat Maghrib secara berjemaah sejak sebulan lalu.
A
A
A

SUBANG JAYA – Sepasukan anggota dan pegawai di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya mengadakan solat hajat setiap hari bagi memohon pertolongan ALLAH supaya keputusan inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pada Jumaat ini berjalan lancar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, pihaknya mengadakan solat hajat selepas solat Maghrib secara berjemaah sejak sebulan lalu.

“Kita berharap keputusan itu adil dan memihak kepada arwah Muhammad Adib,” katanya kepada Sinar Harian.

Syed Shahril Anuar berkata, tidak dinafikan semangat anggotanya ‘down’ selepas kejadian yang menimpa Allahyarham Muhammad Adib.

“Ketika itu, saya perlu memikirkan cara untuk membangkitkan semula semangat mereka supaya dapat meneruskan tugas. Syukur kini mereka sudah boleh ‘move on’ namun kenangan bersama arwah Muhammad Adib akan sentiasa tersemat di hati dan sanubari,” katanya.

Syed Shahril Anuar (tengah) bersama Zaki dan Hazim menunjukkan helmet dan jaket keselamatan bomba yang digunakan Allahyarham Muhammad Adib. FOTO:ZAHID IZZANI
Syed Shahril Anuar (tengah) bersama Zaki dan Hazim menunjukkan helmet dan jaket keselamatan bomba yang digunakan Allahyarham Muhammad Adib. FOTO:ZAHID IZZANI

Menurutnya, beliau juga telah mewujudkan almari ‘memorial Muhammad Adib’ untuk tatapan umum.

“Saya ingin memori yang terpahat di sanubari, oleh itu saya telah menyimpan pakaian dan peralatan arwah Muhammad Adib di dalam almari ini sebagai tanda ingatan dan kenangan terhadap beliau,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, rakan kepada Allahyarham Muhammad Adib, Mohammad Zaki Zakwan Hamdan berkata, dia juga berharap keputusan tersebut adil serta berpihak kepada Allahyarham dan keseluruhan anggota bomba.

“Semoga keputusan ini berpihak kepada pihak bomba.

"Arwah Muhammad Adib merupakan rakan baik dan seringkali melawak dengan kawan-kawan,” katanya.

Mohd Hazim Mohd Rahimi pula berkata, dia terasa kehilangan rakan baiknya itu.

“Kami seringkali pergi memancing pada hari pelepasan. Arwah Muhammad Adib ada membela ikan arowana sejak dua tahun lalu.

"Setelah ketiadaan arwah, kami lain bergilir-gilir menjaga ikan itu," katanya.

Mohd Hazim berkata, Allahyarham Muhammad Adib jenis ‘happy go lucky’.

"Saya tidak menjangka perkara sebegini akan berlaku. Saya berharap keputusan prosiding inkues itu berpihak kepada kami dan keadilan akan ditegakkan,” katanya.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya berharap keputusan inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pada Jumaat ini berjalan lancar.
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya berharap keputusan inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pada Jumaat ini berjalan lancar.

Mahkamah Koroner pada 21 Ogos lalu telah menetapkan 27 September sebagai tarikh keputusan prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib selepas meneliti semua keterangan yang diambil daripada saksi sebelum ini.

Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib yang bermula pada 11 Februari lalu telah memanggil 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar yang berlangsung selama 41 hari selain 137 eksibit dikemukakan.

Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Subang Jaya cedera parah ketika bertugas dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 di sini pada 27 November 2018.

Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu selepas 21 hari dirawat.