Sorok heroin dalam kotak kasut

Bungkusan dadah yang ditemui di dalam kotak kasut dalam serbuan di KM11.4 Jalan Taipung-Bagan Serai berhampiran Kamunting semalam. - Foto PDRM
Bungkusan dadah yang ditemui di dalam kotak kasut dalam serbuan di KM11.4 Jalan Taipung-Bagan Serai berhampiran Kamunting semalam. - Foto PDRM
A
A
A

TAIPING - Taktik seorang lelaki menyembunyikan lebih satu kilogram dadah jenis heroin di dalam kasut tidak berjaya apabila dikesan pihak polis dalam satu serbuan di Kilometer 11.4 Jalan Taiping-Bagan Serai berhampiran Kamunting di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, serbuan tersebut dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping membabitkan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan di dalam kenderaan suspek menemui satu bungkusan plastik yang mengandungi sekotak kasut yang bertutup di atas kerusi penumpang hadapan.

"Apabila kotak tersebut dibuka, pihak polis menemui empat peket plastik lut sinar berisi ketulan-ketulan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 1,811 gram.

"Pihak polis kemudiannya merampas kesemua barangan kes dan suspek ditangkap untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Osman berkata, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori mempunyai satu rekod lampau mengikut Seksyen 29A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala ujian air kencing suspek negatif dadah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah yang ditemui dijual untuk pasaran di sekitar Taiping dengan nilai keseluruhan rampasan RM54,330.

Beliau berkata, suspek kini direman sehingga 30 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan: