Kerajaan Selangor tak akan salahkan Umno

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri bukan sahaja tidak akan sambil lewa malah tidak menyalahkan Umno dan BN sekali gus menyahut gesaan rakyat yang mahu mereka berhenti daripada meletakkan kesalahan terhadap parti itu.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya sering mendengar luahan kemarahan rakyat yang tidak mahu pimpinan PH berterusan menyalahkan Umno serta BN.

Menurutnya, ketika ini rakyat mahukan pentadbiran diterajui kerajaan PH baik di peringkat negeri mahupun Kerajaan Pusat mengotakan janji dan melaksanakan segala perubahan yang dijanjikan.

“Sudah pasti saya tidak mahu bersikap sambil lewa dengan hanya menyalahkan kerajaan Umno-BN. Acap kali saya dengar dan baca luahan kemarahan rakyat supaya kerajaan PH tidak lagi menyalahkan parti itu.

"Gesaan rakyat itu wajar, mereka pilih untuk tukar sebuah kerajaan yang korup, rasuah dan tidak cekap, agar mereka ditadbir oleh kerajaan yang berwibawa, berintegriti dan efisien,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baru 2019.

Amirudin berharap tahun 2019 akan lebih membahagiakan dan bermanfaat kepada rakyat negara ini terutama di Selangor.

“Aspirasi murni itu suatu tanggungjawab moral yang besar dan suatu kewajipan untuk dilunaskan. Pimpinan PH terutamanya di Selangor tidak punya waktu untuk dibazirkan. Kami harus bekerja kuat demi rakyat.

Menurutnya, rakyat sudah pasti tertanya-tanya adakah negara bertambah baik atau melalui saat yang sukar selepas perubahan kerajaan pada 9 Mei lalu berikutan setiap hari disajikan pelbagai kisah ekonomi negara sama ada meresahkan atau menggembirakan.

Artikel Berkaitan:

“Di Selangor bagi merancakkan ekonomi, kerajaan negeri kenal pasti potensi di sembilan daerah. Agenda Klusterisasi atau Gugusan Ekonomi dilancar untuk cetuskan kesan limpahan atau ‘spillover effect’ kepada setiap pelosok Selangor.

"Kami yakin dasar ini akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, menarik pelaburan domestik serta antarabangsa dan sekali gus memastikan aliran pendapatan baharu buat kerajaan negeri,” katanya.

Amirudin berkata, walaupun dalam pembentangan belanjawan yang lalu fokus kepada beberapa agenda termasuk menyejahterakan negeri namun kerajaan negeri berdepan cabaran menetapkan keseimbangan antara mencipta aliran pendapatan baharu dan memastikan program kebajikan terutama kepada golongan B40 dapat diteruskan.

“Sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab inisiatif peduli rakyat (IPR) dikekalkan. Pelaksanaannya berlandaskan prinsip ‘gift to empowerment’ bertujuan meningkatkan daya saing penerima IPR serta membantu mereka menaiki tangga mobiliti sosial.

“Saya berikrar akan berusaha keras untuk memastikan setiap rakyat Negeri Selangor mendapat manfaat dari kemakmuran negeri ini,” katanya.