Maut dihempap pokok kelapa ketika angkat baju

Anggota bomba dan penyelamat membantu mengeluarkan mangsa yang dihempap pokok kelapa. FOTO: JBPM Perak
Anggota bomba dan penyelamat membantu mengeluarkan mangsa yang dihempap pokok kelapa. FOTO: JBPM Perak
A
A
A

PANTAI REMIS - Seorang suri rumah maut ditimpa pokok kelapa ketika sedang mengangkat baju di rumahnya di Jalan Matang Kurau, Kampung Sungai Batu, di sini petang semalam.

Mangsa, Ramlah Sipar, 52, pada awalnya mengalami cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Seri Manjung.

Ketua Polis Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, kejadian berlaku jam 6 petang ketika ribut berserta hujan lebat dan angin kencang menyebabkan sebatang pokok kelapa tumbang menghempap bumbung dan mangsa yang sedang mengangkat baju disidai ketika itu.

Menurutnya, anggota bomba yang dikejarkan ke tempat kejadian menjalankan operasi memotong pokok bagi menyelamatkan mangsa yang dihempap.

"Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Pantai Remis sebelum dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Manjung dengan ambulans.

"Sampai di wad kecemasan, mangsa telah disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kini berada di Hospital Manjung untuk bedah siasat.

Dalam kejadian berkenaan, suami mangsa turut berada di tempat kejadian tetapi tidak cedera dan hanya terkena hujung pelepah kelapa.

Artikel Berkaitan: