Pekerja kuari maut dihempap batu 10 tan

Jengkaut yang dikendalikan mangsa dihempap batu ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan di sebuah kuari di Simpang Pulai, Ipoh. - Foto ihsan PDRM
Jengkaut yang dikendalikan mangsa dihempap batu ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan di sebuah kuari di Simpang Pulai, Ipoh. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

IPOH - Seorang pekerja kuari maut dihempap batu dianggarkan seberat 10 tan ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan batu di sebuah kuari di Simpang Pulai, di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian antara jam 12 tengah hari dan 1 petang itu, mangsa berusia 48 tahun yang berasal dari Gerik sedang mengendalikan sebuah jengkaut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, polis menerima maklumat sekitar jam 4 petang berhubung satu kemalangan di tempat kerja.

"Hasil siasatan mendapati mangsa yang menjalankan kerja di tempat kejadian disyaki dihempap batu dianggarkan seberat 10 tan dari ketinggian 25 meter.

"Mangsa tersepit dalam kokpit jentera berat terbabit akibat dihempap batu berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pasukan penyelamat berada di lokasi kejadian bagi meneruskan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam jengkaut akibat dihempap batu 10 tan di sebuah kuari di Simpang Pulai. - Foto ihsan PDRM
Pasukan penyelamat berada di lokasi kejadian bagi meneruskan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam jengkaut akibat dihempap batu 10 tan di sebuah kuari di Simpang Pulai. - Foto ihsan PDRM

Menurut beliau, mangsa berjaya dibawa keluar oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sekitar jam 6.45 petang.

"Kematian mangsa disahkan oleh petugas kesihatan sebelum dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.