Wann, Hady Mirza antara 13 peserta GV6

Barisan peserta Gegar Vaganza 6.
Barisan peserta Gegar Vaganza 6.
A
A
A
MENAMATKAN teka-teki, penyanyi Wann secara rasminya diumumkan sebagai salah seorang peserta program kegemaran ramai, Gegar Vaganza musim keenam (GV6) yang bakal membuka tirai pada 13 Oktober ini.

Wann yang ditemui ketika majlis Sidang Media GV6 yang berlangsung di The Gardens Theatre, Mid Valley, Kuala Lumpur pada Selasa menyifatkan penyertaannya ini adalah demi memenuhi permintaan peminat.

“Sebenarnya ia merupakan kali ketiga saya dipelawa untuk menyertai GV. Saya menolak sebelum ini kerana rasa belum bersedia untuk tampil dalam program yang besar sebegini.

“Namun apabila banyak pihak yang menyatakan sokongan dan bersungguh-sungguh mahukan saya untuk tampil beraksi, maka kali ini saya menyahut cabaran itu,” ujar Wann yang popular menerusi lagu Lamunan Hati dan Bossanova ini.

Wann akan bersama-sama 12 lagi peserta lain yang terdiri daripada Nurfatima, Mazleela, Noorshila Amin, Feeza, Jatt, Roy, Sham Visa, Hady Mirza, Naqiu Boboy dan Ameer Sofazr.

Sementara One Nation Emcees dan Kool pula bertanding bersama atas tiket berkumpulan dan duo.

Masih mengekalkan format penjurian sepenuhnya oleh juri profesional, barisan peserta yang bertanding akan diadili oleh juri tetap, Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang, selain seorang juri jemputan.

Biarpun berlaku pertambahan peserta daripada 12 kepada 13 orang untuk edisi kali ini, GV6 tetap akan bersiaran selama lapan minggu sebagaimana sebelum ini dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104), Ria HD (123) dan Astro GO, setiap Ahad jam 9 malam.

Dalam pada itu, gandingan serasi Nabil Ahmad dan Jihan Muse masih dikekalkan sebagai pengacara untuk musim ini sekaligus meneruskan kehangatan GV6 yang tampil dengan tema Kembali Berontak Dalam Rentak.

Artikel Berkaitan:

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria & Ria HD, Emarina Kamal, selepas enam tahun bersiaran, GV dilihat sebagai bukan sekadar program hiburan semata-mata tetapi lebih daripada itu.

“Kami di bahagian produksi mengangkat GV sebagai satu ekosistem yang menghubungkan penyanyi khususnya pemain senior baik dari Malaysia, mahupun negara-negara serantau seperti Singapura, Indonesia dan Brunei dengan pentas komersial arus perdana pada hari ini yang rata-ratanya didominasikan oleh golongan muda millennial,” katanya.