Sabah harap Belanjawan 2020 sentuh tuntutan royalti minyak

Mohd Shafie (kiri) diberi taklimat oleh Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Lain Lo (kanan) mengenai operasi Shell Malaysia ketika mengadakan lawatan kerja ke pejabat Sabah Shell Petroleum Company Limited hari ini. -Foto Bernama
Mohd Shafie (kiri) diberi taklimat oleh Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Lain Lo (kanan) mengenai operasi Shell Malaysia ketika mengadakan lawatan kerja ke pejabat Sabah Shell Petroleum Company Limited hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah berharap Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada bulan depan akan menyentuh tuntutan royalti minyak sebanyak 20 peratus.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Sabah antara negeri pengeluar minyak dan gas negara, memerlukan dana untuk membangunkan prasarana untuk rakyat.

"Kita sedar dan tahu kekangan kewangan di peringkat Pusat tetapi dalam pada itu, kita perlukan kewangan untuk membangunkan negeri Sabah.

"Harapan kita ialah bukan hanya yang telah kita bincangkan berhubung kait Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan direalisasikan tetapi (royalti) minyak juga harus dilihat," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pejabat Sabah Shell Petroleum Company Limited di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas harapan Sabah terhadap Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober ini.

Mohd Shafie berkata, hasil sektor minyak dan gas menjadi antara isu ketika dan selepas pilihan raya.

"Ia menjadi isu yang dilontarkan oleh masyarakat tentang bagaimana minyak yang merupakan hasil dari Sabah tetapi perolehan tidak sebanyak itu.

"Kita kena memahami keadaan ini. Jadi, harapan saya dan sudah saya maklumkan kepada Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) tentang perkara ini dan menjadi harapan kita usaha ini dapat dijayakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai lawatannya ke Pejabat Sabah Shell Petroleum Limited di sini, Mohd Shafie berkata bagi merapatkan kerjasama dengan Shell, antara syarikat petroleum yang ada di Sabah.

Menurutnya kerajaan negeri mahu memanfaatkan sektor yang ada dan meningkatkannya lagi untuk kebaikan negeri.

"Syarikat yang melabur di negeri ini perlu merealisasikan keuntungan mereka dan memastikan mereka boleh berada di sini, bukan sahaja untuk melabur malah memberi pekerjaan kepada anak-anak Malaysia termasuk Sabah," kata Mohd Shafie. - Bernama