1MDB: Peranan aktif Jho Low timbul keraguan perunding

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa peranan aktif ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho Low pernah menimbulkan keraguan dalam kalangan perunding semasa proses perbincangan pengeluaran bon Islamic Medium Term Notes (IMTN) membabitkan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) diadakan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga TIA, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya berkata, semasa proses IMTN sedang dibincangkan dengan pihak perunding luar, Jho Low sentiasa berperanan aktif di dalam perbincangan dan pembentangan oleh perunding.

"Ini menimbulkan persoalan oleh perunding ke atas peranan Jho Low kerana beliau bukanlah penasihat rasmi TIA.

"Saya merasakan bahawa teguran ini mempunyai asas dan telah memaklumkannya kepada Jho Low yang kemudiannya telah mendapatkan pandangan DYMM Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Jho Low memaklumkan kepada saya bahawa DYMM Tuanku Mizan bersetuju untuk melantik dua nama iaitu Jho Low dan Datuk Abdul Aziz Mohd Akhir untuk menjadi penasihat TIA secara lantikan rasmi. Maka, dengan itu saya telah membawa cadangan ini kepada Ahli Lembaga Pengarah (BOD) untuk diluluskan," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Shahrol Azral berkata, Jho Low juga telah memintanya untuk melihat 'Surat TIA Berhad Bertarikh 27 Mac 2009 Kepada Datuk Seri Najib Razak' dan menandatangani surat tersebut atas kapasitinya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TIA pada masa berkenaan.

"Itu adalah sebagaimana yang telah diberitahu kepada saya oleh Jho Low dan Pengarah Eksekutif TIA, Casey Tang pada 23 Mac 2009 iaitu hari saya mula bekerja bahawa TIA akan mengeluarkan dan menerbitkan IMTN sebanyak RM5 bilion dan tugas saya adalah untuk menulis surat kepada pihak MOF untuk mendapatkan kelulusan jaminan tersebut. Pada masa itu, Jho Low bertindak sebagai penasihat kepada TIA.

"Surat itu dihantar oleh pihak TIA kepada Datuk Seri Najib atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan untuk menyatakan proposal TIA untuk menerbitkan sebanyak RM5 bilion IMTN melalui Jaminan Kerajaan atau singkatannya GG (Government Guarantee) selama tempoh 30 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Di dalam surat ini, ada dinyatakan tujuan atau latar belakang TIA iaitu menjadi Pemangkin Pembangunan Terengganu dan Malaysia. TIA berhasrat untuk mempunyai tabung sebesar RM11 bilion. Dana ini datangnya dari terbitan bon yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan dan juga royalti minyak Kerajaan Negeri Terengganu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jho Low rapat dengan Najib, ada akses ke rumah: Saksi

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, surat itu juga menyatakan bahawa DYMM Tuanku Mizan akan menjadi Pengerusi Board Of Advisors TIA (BOA TIA) dan BOA TIA juga dianggotai oleh Menteri Besar Terengganu dan Menteri Kewangan.

Menurut Shahrol Azral, Jho Low ada juga memberitahunya yang Mubadala Petroleum sudah menyatakan minat untuk melabur ke dalam sebuah hotel mewah di Pulau Bidong, Terengganu.

"Oleh sebab itu, TIA perlu menerbitkan bon dengan segera untuk memastikan pelaburan berkenaan dapat dijalankan. Atas sebab-sebab itulah saya telah menandatangani surat tersebut atas kapasiti saya sebagai CEO TIA," jelasnya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama