Terengganu masuk gear dua

Acara kayuhan sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2019 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Acara kayuhan sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2019 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan lebih menumpukan perhatian dalam menunaikan janji manifesto yang ditawarkan ketika PRU14 lalu pada 2019.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, fokus utama terhadap pelaksanaan manifesto itu diharap dapat memberikan impak kepada rakyat.

"Tahun 2018 yang akan berakhir malam ini adalah tempoh untuk kita mengenal pasti masalah yang wujud dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah itu.

"Pada 2019, kita masuk gear dua, di mana janji-janji yang kita lontarkan semasa PRU14 akan diteruskan dengan lebih agresif," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri acara Sambutan Ambang Tahun Baharu 2019 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai jangkaan terhadap pertumbuhan ekonomi negeri, beliau menjangkakan peningkatan positif walaupun pertumbuhan ekonomi di peringkat global tidak menentu.

"Walaupun pertumbuhan peringkat global menunjukkan ketidaktentuan, kita berharap, ia tidak menghalang inisiatif kerajaan negeri untuk kukuhkan suasana ekonomi di Terengganu.

"Kita harap pertumbuhan ekonomi Terengganu akan terus kukuh memberi kesan positif kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada terdapat tempoh bagi pelaksanaan 20 manifesto yang dijanjikan Pas Terengganu pada PRU lalu, katanya, tiada tempoh tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Pada saya, kita tak akan laksanakan sekaligus kerana ada antara manifesto yang memerlukan kepada sedikit tambahan kajian.

“Setakat ini, daripada 20 manifesto itu, 12 sedang dilaksanakan dan kita akan teruskan pada 2019,” jelasnya.

Beliau menambah, kerajaan negeri tidak akan tergesa-gesa untuk melaksanakan kesemua janji tetapi mengikut satu-satu masa asalkan ia memberi kesan kepada rakyat.

"Saya rasa itu kunci yang lebih penting, bukan mencari alasan untuk tidak laksanakan manifesto, tetapi cari jalan untuk laksanakan tanpa menyalahkan mana-mana pihak sama ada pada waktu lampau atau sesiapa sahaja," katanya.