Sathia optimis bangkit di Shah Alam

Sathianathan optimis anak buahnya akan bangkit di Stadium Shah Alam pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia bagi memadam kelebihan Perak.
Sathianathan optimis anak buahnya akan bangkit di Stadium Shah Alam pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia bagi memadam kelebihan Perak.
A
A
A

SELANGOR akan bangkit memadam kelebihan satu jaringan yang diperoleh Perak selepas menang tipis 1-0 di Stadium Perak, malam tadi.

Keyakinan itu disuarakan ketua jurulatihnya, B Sathianathan yang menganggap kelebihan 1-0 itu tidak memberikan masalah kepada pasukan Gergasi Merah yang akan menanti kunjungan The Bos Gaurus di Stadium Shah Alam pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia hujung bulan nanti.

Menurutnya, kesemua pemain telah menunjukkan persembahan terbaik cuma kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan amat dirasai.

"Tahniah kepada Perak atas kemenangan ini. Namun 1-0 is nothing. Kita tahu Perak sebuah pasukan yang kuat dan kehadiran penyokong yang ramai memberikan mereka motivasi yang tinggi.

"Bukan senang main di Ipoh dengan ramai pemain yang cedera. Kelemahan memang ada cuma kita minta pemain supaya jangan takut main dengan Perak," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan Perak menentang Selangor di Stadium Perak, di sini malam tadi.

Sathianathan berkata, selepas ini pemain akan berehat seketika sebelum meneruskan latihan selain mengharapkan pemain yang cedera kembali pulih untuk diturunkan dalam perlawanan pada 29 September nanti.

Katanya, walaupun tiga perlawanan di Stadium Shah Alam di peringkat kumpulan mencatatkan keputusan seri, beliau optimis Selangor mampu melangkah ke separuh akhir.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan penyokong turun ke stadium menonton perlawanan untuk memberikan semangat kepada pemain.

Artikel Berkaitan:

"Jangan pandai kritik dalam media sosial sahaja. Bila ada perlawanan mereka tak turun pun. Jadi kita memerlukan sokongan peminat untuk turun ke stadium.

"Jika ramai penyokong turun, pemain akan lebih bersemangat untuk menang. Lawan kita bukan calang-calang pasukan. Perak mempunyai pasukan yang mantap malah berpengalaman dalam beberapa perlawanan akhir," katanya.

Dalam pada itu, pengendali Perak, Mehmed Durakovic mengakui Perak memiliki peluang menjaringkan lebih banyak gol sebagai bekalan selesa ke Shah Alam.

Namun katanya, Selangor bermain dengan baik dan mempunyai pemain-pemain muda berbakat.

Beliau berkata, anak buahnya bermain dengan baik dan mencipta banyak peluang menjaringkan gol.

"Saya sangat gembira dengan permainan pada malam ini. Banyak peluang yang kita cipta namun Selangor juga bermain dengan baik.

"Selepas ini kita akan bermain di Shah Alam dan ia bukanlah sesuatu yang mudah," katanya.

Sementara itu, Durakovic yakin untuk mempertahankan kemenangan itu ketika berkunjung ke Shah Alam nanti dengan kembalinya beberapa pemain seperti Hussein El Dor untuk menguatkan pasukan.

Dalam perlawanan malam tadi, Perak berjaya menjinakkan Gergasi Merah itu 1-0 melalui jaringan tunggal Brendan Gan.