Sekolah terjejas jerebu boleh tangguh Ujian Mendengar PT3

Keadaan jerebu yang semakin teruk ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur hari ini. Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan bacaan 139 yang tidak sihat pada jam sekitar 8 pagi tadi. -Foto Bernama
Keadaan jerebu yang semakin teruk ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur hari ini. Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan bacaan 139 yang tidak sihat pada jam sekitar 8 pagi tadi. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ujian Mendengar Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dijadualkan bermula esok boleh ditangguhkan sehingga 31 Oktober depan bagi kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 akibat jerebu.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bagi sekolah yang tidak terjejas ujian melibatkan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Al-Lughah al-Arabiah Al-Mu'asirah itu diteruskan sebagaimana dijadualkan iaitu 23 hingga 25 September.

"Berdasarkan pemantauan berterusan di seluruh negara, menerusi bacaan IPU sehingga jam 5 petang hari ini di Semenanjung Malaysia dan Sarawak menunjukkan tahap bacaan IPU tidak sihat dan sangat tidak sihat.

"KPM amat memahami kesukaran dihadapi pihak sekolah, murid dan ibu bapa akibat masalah jerebu yang sedang melanda kini," katanya.

Bagaimanapun, KPM memaklumkan Ujian Mendengar Pentaksiran PT3 akan diteruskan seperti yang dijadualkan bagi sekolah yang tidak terjejas akibat jerebu dengan pemantauan ketat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah.

"Manakala bagi kawasan terjejas iaitu tahap bacaan IPU melebihi 200 dibenarkan menangguhkan Ujian Mendengar sehingga 31 Oktober depan," katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

KPM juga turut memaklumkan JPN, PPD termasuk pihak sekolah di seluruh negara telah dimaklumkan tentang langkah-langkah yang perlu diambil ketika menjalankan ujian-ujian berkenaan dan diingatkan sentiasa memantau maklumat bacaan IPU dikeluarkan pihak berwajib.

ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu: 57 sekolah di Kuala Langat dan Klang tutup esok

Artikel Berkaitan: