X

Kindly register in order to view this article
!

PRK Tanjung Piai: BN mahu letak calon

Dr Ahmad Zahid
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan akan meletakkan calon bertanding di kerusi Tanjung Piai, Johor pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu nanti.

Menurut Ahmad Zahid, pihaknya yakin ahli atau penyokong Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu turut memberi sokongan sekali gus mengundi calon yang bakal dipertaruhkan BN.

“Kerusi Parlimen Tanjung Piai pernah ditandingi BN menerusi MCA. Sebelum PH mengambil kerusi itu dengan majoriti 565 undi pada PRU14 lalu, kerusi ini adalah milik BN.

“Pasti kita rebut semula kerusi itu untuk diwakilkan oleh BN pada PRK Tanjung Piai nanti. Kita yakin ahli Pas akan mengundi calon BN pada PRK nanti memandangkan UMNO kini telah bekerjasama secara taawun dengan Pas.

“Kita juga akan adakan perbincangan dengan rakan dalam Muafakat Nasional sebab undi Pas pada PRU14 lalu memperlihatkan mereka telah berikan kira-kira 2,900 undi.

“Saya positif jika undi dapat diberikan kepada BN, kemenangan akan memihak kepada mana-mana calon yang akan mewakili BN sekali gus rampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Perhimpunan Agung Ke-27 Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) di Wisma IPF di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Presiden IPF, Datuk M Sambanthan.

Kerusi Tanjung Piai kosong selepas Ahli Parlimennya, Datuk Dr Farid Md Rafik, 43, meninggal dunia akibat sakit jantung di Hospital Pontian, Johor kira-kira jam 6 pagi semalam.

Allahyarham yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanding di Parlimen Tanjung Piai atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14 lalu dan menewaskan Datuk Wee Jeck Seng daripada MCA.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus