Tunjuk isyarat tayar pancit sebelum samun

Razmi
Razmi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua lelaki menggunakan taktik menunjukkan tanda isyarat tangan kononnya tayar motosikal dinaiki dua wanita pancit sebelum menyamun mereka di Jalan Telok Pasu, Manir di sini Rabu lalu.

Kejadian kira-kira jam 8 pagi berlaku semasa kedua-dua mangsa masing-masing berusia 25 dan 26 tahun dalam perjalanan balik ke rumah di Kampung Tok Jiring di sini dengan menaiki sebuah motosikal.

Menurut sumber, semasa dalam perjalanan melalui jalan Telok Pasu, Manir, secara tiba-tiba mereka dihampiri sebuah motosikal berwarna biru gelap dinaiki dua lelaki tidak dikenali.

"Kedua-dua suspek bertindak menegur sebelum menunjukkan ke arah tayar motosikal dinaiki lalu memberitahu yang tiub kenderaan itu bocor.

"Mangsa terus memberhentikan motosikal untuk membuat pemeriksaan sebelum beg tangan yang diletakkan dalam raga motosikal dilarikan kedua-dua suspek," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Kata sumber, kedua-dua mangsa kehilangan dokumen pengenalan diri, kad ATM dan sejumlah wang tunai.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak.

Artikel Berkaitan: