TFC II bakal lalui cabaran berliku pertahan gelaran

S Kumaahran meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol kedua ketika menentang pasukan TFC II pada saingan separuh akhir pertama Challenge Cup 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini. - Foto Bernama
S Kumaahran meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol kedua ketika menentang pasukan TFC II pada saingan separuh akhir pertama Challenge Cup 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

JUARA edisi sulung Piala Cabaran, Terengganu FC ll (TFC ll) berdepan cabaran berliku untuk mengekalkan kejuaraan selepas tewas 1-2 kepada Johor Darul Takzim ll (JDT ll) pada aksi separuh akhir pertama Piala Cabaran 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam ini.

Tiga puluh minit babak pertama perlawanan berlangsung hambar apabila tiada percubaan berbahaya dihasilkan kedua-dua pasukan yang terlalu berhati-berhati dalam mengatur rentak serta menguji benteng pertahanan lawan.

Bagaimanapun, percubaan pemain import JDT ll, Nicolas Fernandez pada minit ke-35 yang menanduk masuk bola nyaris-nyaris mendebarkan tuan rumah namun berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Mohd Sharmiza Yusof.

Tersentak dengan serangan lawan, TFC ll yang diketuai pemain paling senior Mohd Hasbullah Awang melakukan serangan balas dan nyaris menjaringkan gol sulung pasukan pada minit ke-40, namun tendangan leret Bruno Suzuki dari luar kotak penalti tersasar di sebelah kiri palang gol JDT ll.

Aksi babak kedua semakin panas apabila kedua-dua pasukan cuba mencari gol pertama, namun TFC ll terlebih dahulu merobek gawang lawan pada minit ke-60 menerusi Bruno yang merembat deras dari luar kotak penalti.

Lima minit berselang skuad bimbingan Ervin Bodin pula membalas serangan dan memperoleh gol penyamaan pada minit ke-65 menerusi tandukan mengelirukan pemain gantian, Derren Lok.

Lapan minit sebelum wisel penamat dibunyikan, JDT ll berjaya meledak gol kedua menerusi tandukan pemain tengah, S Kumaahran menjadikan kedudukan kekal 2-1 hingga ke akhir perlawanan.

TFC ll akan bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada 27 September ini untuk perlawanan separuh akhir kedua. - Bernama

Artikel Berkaitan: