Anggota bomba cedera operasi kebakaran

Nurul Hashima ketika menceritakan semula detik cemas itu dalam operasi memadam kebakaran di Taman Utama Cheng, malam tadi.
Nurul Hashima ketika menceritakan semula detik cemas itu dalam operasi memadam kebakaran di Taman Utama Cheng, malam tadi.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Dua anggota bomba cedera dalam operasi memadam kebakaran di sebuah rumah teres di Taman Cheng Utama, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian lebih kurang jam 11.40 malam, Pegawai Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Nurul Hashima Affandi, 25, dihempap runtuhan batu ketika melakukan operasi itu hingga mengalami kecederaan tisu koyak di bahagian kaki dan cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala manakala Pegawai Bomba Nornikman Mamat, 39, hanya cedera ringan.

Menceritakan semula detik cemas itu, Nurul Hashima berkata, sebelum kejadian dia sedang menaiki tangga tingkat satu untuk memeriksa tingkat atas rumah selepas api berjaya dipadamkan.

"Namun tiba-tiba, ketulan batu dari dinding atas pemisah rumah itu runtuh lalu menimpa saya.

"Akibat kejadian itu, sebahagian runtuhan menutupi badan saya, sementara seorang lagi rakan setugas turut tercedera ketika cuba membantu," katanya yang berkhidmat selama enam tahun di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu.

Bagaimanapun kedua-dua mereka dibenarkan keluar dari Hospital Melaka selepas menerima rawatan hari ini.

Hadir melawat mangsa, Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid; Pengarah JBPM, Mohamad Zin Salleh dan Ketua BBP Jalan Kubu, Kamarulzaman Mohd Din.

Dalam pada itu, kebakaran yang berlaku pada jam 10.25 malam itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.39 malam selepas dua buah jentera bersama 16 anggota dikejarkan ke lokasi yang diketuai Komander Operasi Mohamad Ismail Harun.

Artikel Berkaitan: