'Peluang Anwar jadi PM cerah'

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM- Masa depan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia cerah kerana sudah ada persetujuan majlis Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, dalam konteks politik negara sekarang juga Anwar tiada pesaing atau nama lain kerana beliau dilihat paling layak mengambil alih kepimpinan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan Perdana Menteri.

"Jika terdapat pertangguhan peralihan kuasa, sudah pasti komponen PH akan bergolak dan krisis politik akan berlaku. PKR dan DAP pasti tidak bersetuju kerana melanggar persetujuan majlis PH. Rakyat juga pasti bangkit dan marah," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Tambahnya, Dr Mahathir juga tidak ada pilihan lain kerana selain persetujuan dalam majlis PH, jika tidak berlaku peralihan selewat-lewatnya pada pertengahan tahun depan populariti Dr Mahathir dan PH akan terus merosot teruk.

"Dijangka juga populariti Tun M akan turun bawah 30 peratus jika peralihan kuasa gagal dilaksanakan," katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau menjangkakan proses pengambilalihan jawatan Perdana Menteri daripada penyandangnya, Tun Dr Mahathir Mohamad akan direalisasikan sekitar Mei tahun depan.

Memetik laporan agensi berita antarabangsa Bloomberg, Anwar berkata, terdapat satu perjanjian pengambilalihan jawatan Perdana Menteri dibuat sebelum ini.

Anwar mendakwa, menerusi perjanjian itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) akan meletak jawatan pada waktu bersesuaian.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN Anwar jangka beliau dilantik PM tahun depan