Patriot saran kerajaan rangka strategi jangka panjang

 Mohamed Arshad Raji
Mohamed Arshad Raji
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa merangka strategi jangka panjang untuk memacu negara ke depan dan menyelesaikan masalah yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu selain pada masa sama menangani isu dalaman antara sesama mereka.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, gesaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini agar orang Melayu mengubah sistem nilai mereka untuk mencapai kejayaan merupakan satu permulaan yang baik.

“Nilai-nilai positif merupakan asas setiap kejayaan bagi mana-mana komuniti atau kumpulan dan negara amnya,” katanya dalam kenyataan bersempena sambutan tahun baharu, di sini hari ini.

Selain itu katanya, negara juga melangkah ke tahun baharu dalam situasi tidak memberangsangkan antaranya kenaikan kadar faedah global, pasaran saham yang lemah, penguncupan ekonomi dunia serta perang perdagangan di antara kuasa-kuasa besar dunia.

“Dalam negara pula, kita berdepan masalah ringgit yang lemah, penguncupan peluang pekerjaan serta kejatuhan harga minyak yang boleh menyebabkan inflasi serta membantutkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Sehubungan itu Mohamed Arshad menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersatu untuk mendepani unjuran 2019 yang tidak memberangsangkan.

“Jika kita kekal bersatu, kesukaran yang dihadapi dikongsi bersama, sekali gus mengurangkan kesannya,” kata beliau. - Bernama

Artikel Berkaitan: