JPN Pulau Pinang komited beri kerjasama kepada PDRM

Nur Zulfa (kiri) mengiringi Kon Yeow merasmikan Fiesta Perkahwinan Beramai-ramai JPN Pulau Pinang tadi.
Nur Zulfa (kiri) mengiringi Kon Yeow merasmikan Fiesta Perkahwinan Beramai-ramai JPN Pulau Pinang tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang komited dalam memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan salah laku pegawainya baru-baru ini.

Pengarahnya, Nur Zulfa Ibrahim berkata, untuk waktu ini pihaknya tidak boleh mengulas lanjut berhubung isu itu berikutan kes telah didakwa di mahkamah.

Menurutnya, salah laku yang didakwa melibatkan pegawai jabatan itu tidak mencerminkan imej JPN Pulau Pinang secara keseluruhannya.

"Saya tidak boleh membuat kenyataan atau mengulas lanjut mengenai perkara ini.

"Sebagai Pengarah JPN Pulau Pinang saya ingin menyatakan bahawa di peringkat jabatan negeri, kita sentiasa komited dalam memberi kerjasama kepada polis," katanya pada sidang media di JPN Pulau Pinang di sini tadi.

Minggu lalu, enam lelaki termasuk seorang pegawai JPN Pulau Pinang dihadapkan ke mahkamah dengan 32 pertuduhan melibatkan sindiket penjualan dokumen pengenalan diri dan sijil kelahiran kepada warga asing.

Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, 34, menghadapi dua pertuduhan utama iaitu di bawah Seksyen 26 E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Tertuduh didakwa dengan dua pertuduhan iaitu membuat satu dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran Malaysia dan kad pengenalan Malaysia bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Mohd Faizul yang menghadapi 11 pertuduhan kesemuanya turut berdepan lima pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana mengeluarkan lima kad pengenalan di atas nama disyaki warga China.

Tertuduh juga menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen daftar beranak iaitu sijil kelahiran Malaysia.

Terdahulu, Nur Zulfa ditemui di majlis Fiesta Perkahwinan Beramai-ramai JPN Pulau Pinang di sini yang dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Pada majlis itu, seramai 24 pasangan terdiri daripada enam pasangan India dan 18 pasangan Cina mendaftarkan perkahwinan mereka sempena tarikh 19 September 2019 yang dianggap istimewa.

Kon Yeow (kiri) menyaksikan salah satu pasangan yang mendaftar perkahwinan di Fiesta Perkahwinan Beramai-ramai JPN Pulau Pinang tadi.
Kon Yeow (kiri) menyaksikan salah satu pasangan yang mendaftar perkahwinan di Fiesta Perkahwinan Beramai-ramai JPN Pulau Pinang tadi.

Pendaftaran perkahwinan itu juga melibatkan dua warga asing iaitu Indonesia dan Thailand yang memilih warganegara tempatan sebagai pasangan hidup mereka.

Nur Zulfa berkata, fiesta tersebut merupakan kali kelima penganjurannya yang mana kali pertama adalah pada 10 Oktober 2010 dan diikuti 11 November 2011.

Tambahnya, sejak Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 545 perkahwinan didaftarkan di seluruh JPN Pulau Pinang dan 40 perkahwinan dilangsungkan di luar pejabat.