KPDNHEP Perak rampas selipar bernilai lebih RM600,000

Ravichandran (tengah) menunjukkan selipar disyaki barang tiruan yang dirampas di dua kilang di Batu Gajah pada sidang media hari ini.
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas 76,632 pasang selipar jenama tiruan berjenama bernilai RM613,056.

Rampasan itu hasil serbuan sepasukan sembilan pegawai penguat kuasa bersama enam wakil cap dagangan di dua kilang di Kawasan Perindustrian Pengkalan 2, Pusing, Batu Gajah.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak, V Ravichandran berkata, operasi selama 20 jam yang bermula jam 10 pagi semalam itu menemui jenama disyaki tiruan.

"Siasatan lanjut mendapati kedua-dua premis terbabit dimiliki seorang lelaki berusia 40-an dan dia ditahan untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

"Premis yang beroperasi sejak 2015 tersebut didapati membekalkan selipar itu untuk pasaran tempatan serta dieksport ke Indonesia dan Thailand," katanya pada sidang media di stor barangan rampasan KPDNHEP di sini hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang kesalahan pertama atau maksimum RM30,000 bagi setiap barang kesalahan kedua dan seterusnya, jika sabit kesalahan.

"KPDNHEP Perak akan terus melindungi hak-hak pemilik cap dagang melalui pemantauan, risikan dan penguatkuasaan berterusan ke atas premis yang menjual barangan berjenama," katanya.