Warga emas rugi ditipu 'Sarjan Wong'

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Gara-gara termakan pujukan seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai Telekom Malaysia (TM) dan pegawai polis, seorang kerani terpaksa berputih mata apabila ditipu lebih RM67,000 pada 28 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 58 tahun itu menerima panggilan melalui telefon rumah daripada ‘pegawai TM' berhubung tiga nombor telefon yang didaftarkan atas nama mangsa dikatakan terlibat dengan penipuan.

"Suspek dikatakan menyambung panggilan kepada seorang lagi suspek bernama ‘Sarjan Wong' yang dikatakan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pulau Pinang.

"'Sarjan Wong’ turut mengarahkan mangsa menyerahkan wang yang ada dalam akaunnya untuk diperiksa sama ada betul mangsa telah menipu duit orang,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa juga dijanjikan suspek bahawa wang tersebut akan dipulangkan dalam masa satu minggu untuk siasatan pihak polis.

“Mangsa yang terlalu takut telah bersetuju dan membuat pembayaran empat kali transaksi ke atas dua akaun diberikan suspek sebanyak RM6,000.

"Pada hari yang sama, mangsa juga melakukan deposit tunai sebanyak RM16,000 ke dalam dua akaun tersebut menjadikan jumlah keseluruhan RM22,000," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis di IPD Temerloh semalam selepas menyedari dirinya ditipu dan pulangan wang yang dijanjikan tidak diterima sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya sedang mengesan nombor telefon digunakan suspek serta pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes berkenaan.