Bangun awal pagi tumpang mandi di masjid!

A
A

BACHOK - Menumpang mandi seawal jam 5 pagi di masjid berdekatan menjadi rutin penduduk di sekitar Jelawat di sini apabila daerah itu mengalami gangguan bekalan air sejak Jun lalu.

Masalah membabitkan kira-kira 1,000 penduduk antaranya di Kampung Rusa dan Kampung Mujur tersebut paling teruk dalam tempoh dua minggu baru-baru ini.

Seorang penduduk Zawiwah Alias, 70, berkata, masalah bekalan air ini sememangnya mengganggu kehidupan dan aktiviti seharian mereka.

Katanya, keadaan menyebabkan ramai penduduk terpaksa menumpang mandi di masjid dan mengangkut air dari telaga tiub milik masjid ke rumah masing-masing untuk kegunaan makan dan minum.

“Masalah ini berlarutan sejak Aidilfitri lalu dan paling teruk pernah kami tidak ada bekalan air langsung selama tempoh dua minggu bermula 1 September lalu.

“Selain dua minggu tersebut, bekalan air yang ada terputus-putus pula. Adalah dalam sejam dua, selepas itu putus lagi dan hari ini ada pula,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Zawiwah menunjukkan air berwarna kekuningan di kawasan kampungnya.
Zawiwah menunjukkan air berwarna kekuningan di kawasan kampungnya.

Seorang lagi penduduk, Rohanah Omar, 65, pula berkata, selain masalah bekalan air terputus sekejap-sekejap penduduk kampung juga berdepan masalah air berwarna kekuningan juga sejak Jun lalu.

“Sepanjang tempoh saya tinggal di kampung ini, masalah air berwarna kuning ini paling teruk dan lama hingga tidak tergamak hendak digunakan untuk minum, makan atau bersuci.

“Kalau hendak memasak atau membasuh baju saya gunakan air telaga sebab air yang ada ini berwarna kuning dan banyak kali terputus bekalan,” katanya.

Dalam pada itu, gangguan bekalan air turut merumitkan aktiviti seharian lebih 1,600 pelajar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) termasuk 650 pelajar tahun satu yang baharu mendaftar ke semester 1 pada 1 September lalu.

Seorang pelajar, Muhamad Amer Asyraf Rusli, 20, berkata, mereka yang tinggal kolej kediaman universiti terpaksa mencatu bekalan air dan kadang terlewat ke kelas kerana mandi di masjid milik universiti kerana tidak ada air.

“Kalau ada tekanan air, air pula keruh dan tekanannya rendah menyebabkan kami perlu tadah air serta menunggu lama, malah saya sendiri pernah dua hari tidak mandi.

“Bukan sahaja air, malah baju juga perlu jimat-jimat pakai kerana tidak ada air hendak membasuh baju. Hujung minggu terpaksa balik kampung di Kuala Krai untuk basuh baju,” katanya.

Exco Majlis Pewakilan Pelajar UMK, Muhammad Zulhilmi Yaacob, 22, berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pelajar dan turut mengalami sendiri masalah tersebut sejak sesi 2019/2020 bermula pada 1 September lalu.

“Kami terpaksa angkut air dari masjid ke dalam kolej kediaman untuk kegunaan seharian dan pelajar ada yang mengadu mengalami gatal-gatal sehingga sukar meneruskan pembelajaran kerana masalah air ini,” katanya.

Pada perkembangan sama, Naib Canselor UMK Prof Dr Noor Azizi Ismail berkata, pihak pengurusan mengambil serius masalah gangguan bekalan air yang berlaku di kampus Bachok dan mengambil beberapa langkah mengatasi masalah itu.

“Kami membuat permohonan bekalan air ke UMK pada setiap hari dengan menggunakan lori tangki dan menaik taraf telaga tiub sedia ada di asrama pelajar untuk memastikan bekalan air berterusan.

Muhamad Amer Asyraf menunjukkan masalah bekalan air yang dihadapi warga UMK.
Muhamad Amer Asyraf menunjukkan masalah bekalan air yang dihadapi warga UMK.

"Kami juga minta tambah satu lagi sistem telaga tiub untuk bekalkan air ke tangki utama. Perbincangan dengan pihak terlibat akan diadakan bagi mengatasi masalah ini agar tidak berulang lagi," katanya

Sementara itu, sumber pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) ketika dihubungi memaklumkan masalah berpunca daripada pam tangki air di Pasir Tumboh, Kota Bharu yang rosak.

“Pam di Pasir Tumboh ini menyalurkan air ke tangki di Bukit Marak dan kerosakannya menyebabkan air yang dibekalkan berkurangan sejumlah 20 juta liter air sehari.

“Air di tangki air (Bukit Marak) ini diagih ke Jelawat termasuk UMK dan kerosakan dijangka pulih secara berperingkat-peringkat,” katanya.