Asma, konjunktivitis antara penyakit meningkat di Selangor

Khalid Ibrahim
Khalid Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah pesakit asma menunjukkan peningkatan sebanyak 15 peratus di Selangor susulan daripada pencemaran jerebu yang melanda ibu negara sejak minggu lalu.

Selain itu, infeksi pada mata atau konjunktivitis menunjukkan peningkatan sebanyak 2.8 peratus manakala penyakit saluran pernafasan seperti 'upper respiratory infection' pula menunjukkan kenaikan sebanyak 3.5 peratus.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, peningkatan tersebut tidak ketara berikutan masyarakat bersedia dan mengetahui perlindungan yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Jabatan Kesihatan Selangor akan terus memantau dan memastikan bekalan ubat adalah mencukupi. Bagaimanapun, kita tidak mempunyai data untuk klinik swasta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Khalid berkata, bagi masyarakat yang menetap di kawasan yang mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat, pihaknya menasihatkan pihak terlibat menggunakan perlindungan yang sesuai.

"Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan penutup hidung dan mulut sepanjang musim jerebu. Penggunaan penutup hidung dan mulut jenis N95 adalah paling berkesan dalam situasi jerebu.

"Kanak-kanak pula mempunyai kadar pernafasan lebih tinggi berbanding dewasa dan mereka lebih disarankan supaya sentiasa berada di dalam rumah atau kurangkan masa berada di luar," katanya.

Artikel Berkaitan: