Jelmaan pocong di Paloh, Gua Musang?

Tangkap layar video tular menunjukkan objek berwarna putih di tengah jalan yang dipercayai pocong.
Tangkap layar video tular menunjukkan objek berwarna putih di tengah jalan yang dipercayai pocong.
A
A
A

GUA MUSANG - Sejak minggu lalu, tular video rakaman penampakan pocong yang didakwa dirakam di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3 di sini.

Dalam video berdurasi 11 saat itu, kelihatan satu sosok berwarna putih berada di tengah jalan dan mengejar individu yang merakam.

Ketua kampung, Shamsudin Ismail berkata, beliau tidak meneliti video berkenaan namun katanya gangguan di kampungnya itu sudah berlaku sejak sekian lama.

"Terbaru, terdapat remaja yang nampak pocong di kawasan pejabat Kesedar Paloh 3. Dia maklumkan kepada saya sendiri penemuan misteri tersebut.

"Sebelum ini memanglah kawasan tersebut sering berlaku gangguan, tapi tidak pernah nampak kelibat yang pelik-pelik. Hanya mengganggu dengan bunyi-bunyian," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Penduduk kampung, Supian Daud, 45, berkata, ada dakwaan mengatakan kejadian itu berlaku berhampiran kawasan rumahnya.

"Tapi bila saya perhatikan struktur jalan, ia bukan kawasan rumah saya. Di laluan Paloh 3, tiada jalan yang mempunyai garisan tengah.

"Lagipun, kawasan kampung saya berbukit tapi dalam rakaman itu, ia rata. Mungkin kawasan lain atau pun kampung Paloh di daerah atau negeri lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Supian, sebelum ini tiada sebarang kejadian pelik yang berlaku di kawasan kampungnya.

Sementara itu, Imam Tua Masjid Keputeraan Paloh, Nik Badri Nik Abd Aziz berkata, sekiranya benar kejadian itu berlaku sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk, ia memerlukan ikhtiar dari pusat perubatan Islam.

"Sebelum ini, saya tidak pernah tahu kejadian seumpama ini di Paloh 3 cuma di kawasan Gua Sejuk, saya pernah melalui kejadian aneh apabila melihat sendiri bungkusan berkain putih di tengah-tengah jalan.

"Jika ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk, kita kena usaha mencari individu yang lebih arif dan dalam masa sama, kita juga perlu berdoa memohon pelindungan daripada ALLAH SWT," katanya.