Pacu pertumbuhan ekonomi negara jadi keutamaan

- Foto Sinar Harian Rosli Talib
- Foto Sinar Harian Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan akan memberi keutamaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2019 dalam mencapai kemakmuran untuk semua.

Dalam perutusan tahun baharu 2019, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perjuangan itu akan berdepan cabaran yang menuntut kerja keras, istiqamah dan pengorbanan demi membina asas kejayaan bersama.

“(Ini supaya) bagi mengembalikan semula Malaysia sebagai Harimau Asia, sebuah keajaiban ekonomi serantau yang berpegang kepada prinsip demokrasi, keadilan, bersatu dan amanah yang menjadi warisan generasi yang akan datang,” katanya dalam perutusan itu hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh enam bulan pertama Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas PRU14, negara telah melalui proses perubahan hala tuju dan keutamaan baharu yang boleh memacu ekonomi negara ke hadapan.

Dalam masa 100 hari, kerajaan telah melaksanakan hampir semua reformasi institusi yang dijanjikan, katanya.

Mengimbas kembali rentetan tahun lalu, Mohamed Azmin berkata, 2018 adalah tahun cukup bersejarah yang mana hasrat rakyat untuk bebas daripada rasuah diterjemahkan menerusi kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14, awal Mei yang lalu.

“Ia juga adalah langkah berani rakyat Malaysia menentukan masa depan negara di tangan sendiri, dan bukan lagi pada elit politik, di mana rakyat telah mara membina semula negara yang terbungkam potensi sebenarnya,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: