Penyatuan Pas-UMNO mampu stabilkan politik negara: Tuan Ibrahim

Ahmad Zahid dan Abdul Hadi bergambar bersama pimpinan parti selepas menandatangani piagam Permuafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC Sabtu lalu. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

SHAH ALAM - Pas optimis berhubung penyatuan Melayu dengan acuan Islam mampu menstabilkan politik dan melonjakkan negara ke arah mercu yang lebih gemilang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kekuatan politik Melayu juga akan menjadi benteng untuk mempertahankan tiang seri negara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan seperti kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.

"Apa yang diperjuangkan oleh Pas dan UMNO adalah penyatuan ummah yang lebih inklusif dengan mengutamakan perpaduan orang Melayu dan Islam tanpa prejudis terhadap kaum lain.

"Ia selaras dengan tuntutan Islam, Perlembagaan dan konteks sejarah dan kepentingan semasa. Namun bagaimana pula dengan DAP? Adakah agenda kristianisasi dalam politik Malaysia satu tindakan yang wajar? Oleh itu Pas menggesa polis menyiasat penganjuran dan kandungan forum tersebut bagi mengelakkan kecelaruan dalam kalangan rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, komposisi orang Melayu Islam dianggarkan sekitar 69 peratus daripada 33 juta penduduk di Malaysia dan jumlah yang besar ini harus disatukan terlebih dahulu dengan acuan Islam sebelum mengorak langkah membina peradaban baharu di negara ini.

"Dari segi politik pilihan raya, jumlah pengundi Melayu yang mengundi Pas dan UMNO dalam PRU14 yang lalu adalah sekitar 70 peratus. Sekiranya jumlah ini digembleng secara positif, maka satu perubahan yang lebih baik akan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Piagam Muafakat Nasional garis enam hasrat utama

Sabtu lalu, Enam hasrat utama Piagam Muafakat Nasional digariskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Piagam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Menurutnya, antara perkara tersebut ialah berkaitan akidah, keimanan dan keikhlasan, agenda besar, jaminan permuafakatan, elakkan pergeseran, tonggak kepimpinan serta kekal selama-lamanya.

Ahmad Zahid berkata, permuafakatan ini antara UMNO dan Pas berlandaskan kepada akidah, keimanan dan keikhlasan sebagai paksi bagi memperkukuhkan kebersamaan kita serta Ia bukan semata-mata agenda politik.