Khazanah jual pegangan Prince Court RM1.02 bilion

Khazanah Nasional Berhad
Khazanah Nasional Berhad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Berhad menjual 100 peratus kepentingannya dalam Prince Court Medical Centre Sdn Bhd (PCMC), yang mengendalikan kemudahan penjagaan kesihatan di Segitiga Emas Kuala Lumpur, kepada IHH Healthcare Bhd dengan harga RM1.02 bilion secara tunai.

Anak syarikat tidak langsung milik penuh, Pulau Memutik Venture Sdn Bhd, hari ini menandatangani perjanjian bersyarat untuk menjual PCMC kepada unit tidak langsung IHH, Pantai Holdings Sdn Bhd.

“Memandangkan perubahan terkini dalam mandat Khazanah baru-baru ini, keputusan dibuat untuk menjual PCMC kepada IHH juga sebagai platform penjagaan kesihatan Khazanah,” kata dana pelaburan negara itu dalam satu kenyataan hari ini.

Khazanah adalah pemegang saham kedua terbesar IHH selepas Mitsui & Co Ltd dengan 26 peratus lebih sedikit pegangan yang dipegang menerusi Pulau Memutik Ventures.

Prince Court Medical Centre Sdn Bhd (PCMC)
Prince Court Medical Centre Sdn Bhd (PCMC)

Dana tersebut membuat pengambilalihan strategik PCMC pada 2018, dengan sasaran untuk meningkatkan sektor perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia dan mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pilihan bagi penjagaan kesihatan berkualiti di rantau ini.

Cadangan penjualan itu, kata Khazanah, akan membolehkan PCMC mendapat manfaat sepenuhnya daripada penyepaduan ke dalam operasi IHH Malaysia dan rangkaian globalnya yang meluas.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, perjanjian itu juga akan menyediakan mudah tunai kepada dana tersebut bagi keperluan modal pelaburan pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, Khazanah yakin bahawa PCMC akan mendapat lebih banyak manfaat daripada pengalaman luas IHH dalam menyediakan penjagaan kesihatan premium, di samping mengukuhkan kedudukan IHH sebagai pengendali penjagaan kesihatan utama Malaysia, di mana kami kekal sebagai pemegang saham utama dengan 26.04 peratus kepentingan,” katanya.

Shahril Ridza berkata, cadangan penjualan itu akan mengukuhkan kedudukan keseluruhan IHH dalam pasaran perkhidmatan penjagaan kesihatan tempatan dengan sumbangan berterusan Khazanah melalui penglibatannya dalam IHH.

Ujarnya, cadangan penjualan itu tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan dan Unit Perancang Ekonomi serta pemegang saham bukan kawalan IHH antara lainnya.

"Urus niaga itu dijangka selesai pada suku pertama 2020," katanya.

PCMC memiliki dan mengendalikan kemudahan penjagaan kesihatan swasta berlesen dengan 277 katil, Prince Court Medical Centre di persimpangan Jalan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, IHH berkata PCMC mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM51.0 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, manakala aset bersihnya berjumlah RM486.1 juta setakat 31 Disember 2018. - Bernama