Umno cawangan dakwa Rosol ibarat kacang lupakan kulit

Rosol (tengah) bersama calon-calon BN bagi keempat-empat kerusi Dun dalam Parlimen Hulu Terengganu pada hari pengumuman calon di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, April lalu. (Gambar kecil: Zaki)
Rosol (tengah) bersama calon-calon BN bagi keempat-empat kerusi Dun dalam Parlimen Hulu Terengganu pada hari pengumuman calon di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, April lalu. (Gambar kecil: Zaki)
A
A
A

KUALA BERANG - Kepimpinan Umno di peringkat cawangan tidak bersetuju dan tergores dengan kenyataan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang mengatakan kemenangannya pada PRU14 lalu atas dasar peribadi.

Ketua Umno Cawangan Kampung Pelam, Zaki Sulong berkata, kenyataan itu bukan sekadar bersifat ‘kacang lupakan kulit’ tetapi menambahkan lagi luka di hati berikutan Rosol keluar Umno.

“Keputusan beliau (Rosol) keluar parti buatkan ramai terkejut dan tergores. Sebagai individu lama dalam dunia politik, Rosol tidak seharusnya buat kenyataan ‘menang atas faktor peribadi’ selain sedikit sahaja faktor disumbangkan oleh parti.

“Hakikatnya, parti lebih banyak menyumbang sebagai faktor utama kemenangan apatah lagi Umno kuat di Hulu Terengganu. Kami di peringkat akar umbi bekerja habis-habisan pada PRU14 lalu.

“Kenyataannya itu dilihat seolah-olah tiada langsung jasa dan sumbangan kami...akar umbi ini untuk pastikan kemenangan calon BN. Kami bekerja untuk parti, bukan kerana calon. Sebagaimana sokongan diberikan kepada calon BN di Dun Telemong begitu jugalah diberikan kepada calon BN kerusi Parlimen Hulu Terengganu,” katanya kepada Sinar Harian semalam sebagai respons kepada kenyataan Rosol.

Terdahulu, Rosol ketika ditemui pemberita selepas hadir Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pusaka Terengganu kali ke-17 di Dewan Muzium Negeri Terengganu, Kuala Terengganu, kelmarin maklumkan enggan layan desakan meletak jawatan.

Beliau turut yakin kemenangannya pada PRU14 lalu adalah atas dasar peribadi selain sedikit faktor disumbangkan oleh parti dan beliau tetap berkhidmat seperti biasa untuk rakyat setelah keluar Umno berkuat kuasa 14 Disember lalu.

Zaki berharap Rosol tidak lagi mengeluarkan kenyataan menyinggung hati penyokong Umno di Parlimen Hulu Terengganu kerana selama ini merekalah yang menyokong Rosol atas dasar parti.

Artikel Berkaitan:

“Tak kisahlah tiada PRK kerana beliau enggan letak jawatan tapi saya cabarnya buat satu program dengan rakyat di Parlimen Hulu Terengganu untuk lihat sejauh mana sokongan rakyat terutamanya pengundi kepadanya.

“Pengundi undinya pada PRU14 lalu kerana beliau bertanding atas tiket BN dan kami di peringkat akar umbi bekerja bagi pastikan kemenangan beliau,” ujarnya.

Rosol yang pernah digelar Karpal Singh Terengganu merupakan Adun Ajil (BN) selama tiga penggal (1999-2013) dan pada PRU14 lalu, beliau bertanding sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu.

Rosol membuktikan 'otai masih berbisa' kerana mampu memenangi kerusi itu dengan majoriti undi 2,868 setelah mendapat undi 30,925 mengatasi pencabarnya Muhyidin Abd Rashid(Pas-28,057) serta Datuk Razali Idris (PKR-3,364).