Simpanan lesap selepas 'pegawai polis' gagal pulang wang

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang tukang paip membuat laporan polis mendakwa wang simpanannya berjumlah RM30,000 gagal dipulangkan oleh 'pegawai atasan polis' yang mengarahkannya memindahkan sementara wang itu bagi tujuan siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 32 tahun mendakwa 'pegawai' itu memberi jaminan wang itu akan dipulangkan dalam tempoh dua jam selepas tamat proses siasatan.

Mangsa mendakwa telah berhubung dengan suspek pada tengah hari 15 September lalu, selepas panggilan telefon yang didakwa daripada pihak bank berhubung tunggakan kad kredit atas namanya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

"Suspek yang memperkenalkan diri sebagai Tuan Wong mendakwa siasatan itu berkaitan jenayah dadah yang dikatakan melibatkan diri mangsa, selepas dia berkongsi nombor MyKad dan maklumat peribadi perbankan miliknya.

"Tuan Wong itu dikatakan mengugut mangsa bahawa akaun banknya akan disemak dan sepanjang proses itu, dia perlu memindahkan wang simpanan yang tidak berkaitan dengan jenayah itu ke dalam akaun lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang bimbang wangnya akan dirampas, segera menuruti arahan 'pegawai polis' itu dan melakukan transaksi pemindahan ke dalam akaun yang diberikan suspek, secara dalam talian dengan harapan wang itu akan dipulangkan.

Bagaimanapun, mangsa yang berasa ditipu selepas menunggu seharian, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan: