Jerebu: Sekolah di Nilai dan Port Dickson diarah tutup

Nie Ching ketika melawat SJKT Bandar Seri Sendayan hari ini.
Nie Ching ketika melawat SJKT Bandar Seri Sendayan hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Sebanyak 109 sekolah di Negeri Sembilan melibatkan daerah Port Dickson dan Nilai diarahkan tutup hari ini berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan tahap sangat tidak sihat pagi ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, angka itu melibatkan sebanyak 63 sekolah di Port Dickson dan 46 sekolah di Nilai ditutup serta-merta.

"Pihak kementerian memang sentiasa memantau secara dekat berhubung keadaan ini (jerebu), jadi pihak sekolah diseru untuk merujuk kepada IPU setiap jam.

"Sekiranya IPU mencecah 200 sekolah perlu ditutup serta-merta macam pagi tadi di Nilai dan Port Dickson yang mana telah mencecah bacaan melebihi 200 pada sesi persekolahan baru bermula," katanya kepada pemberita ketika melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Seri Sendayan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, bagi sesi persekolahan esok pihaknya akan membuat pengumuman berhubung sebarang perkembangan terbaru selewat-lewatnya jam 8 malam ini.

"Setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat mengenainya, kalau bacaan meningkat lewat petang ini, saya akan beritahu guru besar dan pengetua untuk bersedia sekiranya sesi persekolahan perlu ditutup.

"Cuti ini (sekolah ditutup) tidak berganti memandangkan guru-guru semua hadir ke sekolah dan telah bertugas untuk menerima pelajar seperti sesi persekolahan biasa," katanya.

Pagi tadi, Port Dickson mula merekodkan bacaan IPU sangat tidak sihat sejak jam 8 pagi iaitu 211 manakala Nilai sejak jam 9 pagi tadi iaitu 203.

Artikel Berkaitan:

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Pendidikan turut menggalakkan kerjasama dengan pihak swasta dan korporat melalui kepakaran masing-masing bagi menyerlahkan potensi dan pembangunan pendidikan di Malaysia.

Nie Ching berkata, inisiatif Public Private Partnerships (PPP) dalam pembangunan sekolah mampu meningkatkan tahap pembelajaran dan pemudahcaraan (pdPc), di sekolah.

"Sumbangan ini bukan hanya dalam bentuk pembelajaran malah syarikat swasta dan pihak korporat boleh memberikan sumbangan mengikut kepakaran masing-masing.

"Mungkin ada pemaju yang boleh bantu bina dewan, sumbang komputer atau kepakaran dalam aktiviti kurikulum atau kokurikulum,” katanya selepas melakukan lawatan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Seri Sendayan, di sini, hari ini.

Nie Ching berkata, model sekolah SJTK Bandar Seri Sendayan boleh dilaksanakan di sekolah lain jika lebih ramai pihak swasta bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan.

"Saya difahamkan kos pembinaan sekolah ini kira-kira RM10 Juta tetapi mereka dapat sumbangan daripada pihak swasta. Pendekatan yang digunakan di sekolah ini sangat kreatif dan inovatif,” katanya.

SJKT Bandar Seri Sendayan adalah antara sekolah Tamil terbaik di negara ini kerana mempunyai reka bentuk moden dan dilengkapi kemudahan terkini pembelajaran.

Sekolah berkenaan sebelum ini dikenali sebagai SJKT Ladang Bukit Bertam dibina oleh syarikat hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad.