Perlis sedia wujud kerajaan campuran dengan Pas

Azlan Man
Azlan Man
A
A
A

KANGAR - Kerajaan negeri menyambut baik sebarang cadangan mewujudkan kerajaan campuran dengan Pas tetapi ia perlu diputuskan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti, kata Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Menurutnya, pihaknya masih lagi boleh mengajak Pas untuk menyertai kerajaan negeri malah tidak perlu pun ada Exco melepas dan meletak jawatan yang telah dipegang kerana masih ada ruang untuk dua wakil daripada Pas sertai kerajaan.

Beliau berkata, cadangan itu memerlukan hala tuju yang bersifat dasar yang diputuskan di peringkat kepimpinan parti tertinggi antara UMNO dan Pas.

Azlan berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang parti itu mungkin mengajak UMNO menyertai kerajaan di Kelantan dan Terengganu selepas kedua-dua parti itu menandatangani piagam kerjasama pada Sabtu lepas.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan kempen kibarkan Jalur Gemilang di sembilan puncak bukit di negeri ini sempena Hari Malaysia di Gua Cenderawasih (Bukit Lagi) di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, BN Perlis memenangi 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 15 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) menang tiga kerusi dan Pas dua kerusi.

Kerusi yang dimenangi Pas ialah di kawasan Guar Sanji dan Sanglang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim mengumumkan keluar Barisan Nasional pada Jun tahun lepas selepas hilang kepercayaan pucuk kepimpinan UMNO negeri dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadikan empat kerusi PH. - Bernama

Artikel Berkaitan: