Australia dakwa China dalang godam parlimen, parti politik

China menafikan sebarang penglibatan dalam penggodaman dan menyifatkan ia juga mangsa serangan internet.
A
A

SYDNEY - Perisikan Australia mendakwa China bertanggungjawab ke atas serangan siber terhadap parlimen dan tiga parti politik terbesar di negara itu sebelum pilihan raya pada Mei lalu.

Menerusi pendedahan lima sumber yang mengetahui secara langsung mengenai perkara itu kepada Reuters, agensi risikan siber Australia, Direktorat Isyarat Australia (ASD) menyimpulkan bahawa Kementerian Keselamatan Negara China bertanggungjawab atas serangan tersebut.

Lima sumber itu bagaimanapun enggan dikenali atas faktor sensitiviti isu berkenaan.

Laporan ASD termasuk input dari Jabatan Luar Negeri yang menyarankan agar penemuan rahsia itu tidak dihebahkan bagi menjaga hubungan perdagangan dengan Beijing.

Susulan itu, Menteri Luar China menafikan penglibatan dalam sebarang serangan penggodaman dan menyifatkan internet sebagai medium yang penuh dengan teori sukar ditafsirkan.

"Apabila menyiasat insiden dalam talian mesti ada bukti yang penuh dengan fakta. Jika tidak ia hanya khabar angin. Kami ingin tekankan bahawa China juga menjadi mangsa serangan internet," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

China merupakan rakan perdagangan terbesar Australia termasuk mendominasi pembelian bijih besi, arang batu dan barangan pertanian serta membeli lebih satu pertiga daripada eksport negara itu. - Reuters