Lelaki ditikam kerana tuntut hutang

Anggota forensik melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Anggota forensik melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki maut ditikam rakannya selepas mereka bergaduh kerana masalah hutang berhampiran Kompleks Bukit Jambul di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.40 malam, mangsa berusia 31 tahun ditemui mati dengan kesan tikaman dipercayai objek tajam di bahagian dada sebelah kanan.

Difahamkan mangsa bertemu dengan suspek di hadapan premis terbabit sebelum berlaku pertengkaran antara mereka kerana masalah hutang.

Menurut sumber, lelaki berkenaan dikatakan mahu menuntut hutang daripada suspek sebelum berlaku pertengkaran dan suspek yang berang kemudian menikam mangsa.

Katanya, selepas ditikam mangsa rebah dan suspek bersama seorang lagi rakannya terus melarikan diri.

"Suspek dikatakan membuang pisau yang digunakan untuk menikam mangsa berhampiran sebuah restoran kira-kira 70 meter dari tempat kejadian.

"Pisau sepanjang 28 sentimeter itu ditemui seorang wanita yang kemudian menyerahkannya kepada polis manakala sarung senjata itu ditemui berhampiran lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Artikel Berkaitan:

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Difahamkan polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dengan kejadian berkenaan melalui rakaman kamera litar tertutup yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, polis kini sedang memburu suspek berusia 33 dan 35 tahun dan mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan juga dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.