Pelan jangka panjang tangani jerebu perlu kerjasama negara lain: PM

Dr Mahathir- Foto: Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan mempunyai rancangan untuk mewujudkan pelan jangka panjang bagi menangani jerebu rentas sempadan yang melanda negara ini setiap tahun namun turut memerlukan kerjasama negara lain termasuk Indonesia.

"Sehingga kita mendapat kerjasama (daripada negara-negara lain) adalah tidak mungkin untuk mempunyai pelan jangka panjang," kata beliau pada sidang media selepas menyaksikan pertandingan mendayung perahu, The Putrajaya Boat Race 2019, di sini hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar pada Rabu lepas dilaporkan mendakwa jerebu yang menyelubungi Malaysia bukan datang dari negara itu, sebaliknya berasal dari Sarawak.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin membalas dalam hantaran di akaun Facebook beliau pada Khamis dengan berkata Indonesia tidak perlu berada ‘dalam penafian’ sambil menyertakan data-data termasuk titik panas di Sumatera dan Kalimantan.

Bee Yin juga dilaporkan berkata, Dr Mahathir akan menghantar surat kepada Presiden Indonesia secepat mungkin berhubung isu jerebu rentas sempadan.

Bee Yin turut dilaporkan berkata bahawa Malaysia telah menawarkan bantuan kepada kerajaan Indonesia untuk memadamkan kebakaran di negara itu, bagaimanapun hingga kini belum ada permintaan seumpama itu dibuat. - Bernama