Polis tahan lelaki terlibat aktiviti proses, jual air ketum

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Polis menahan seorang lelaki tempatan yang menjalankan aktiviti memproses dan menjual air ketum di Kampung Pintu Padang dekat Gopeng, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata sepasukan polis yang menjalankan Ops Bersepadu/ Pencegahan Jenayah pada pukul 11 malam telah berjaya menahan lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah.

"Polis merampas 18 bungkus plastik yang setiap satunya mengandungi air ketum dengan anggaran 22.5 liter dan 10 bungkus plastik hitam yang mengandungi daun ketum seberat 40 kilogram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasron Nazri berkata pihaknya turut merampas sebuah tong gas, tiga buah periuk besar, dua set dapur gas serta pelbagai kelengkapan memproses air ketum dalam serbuan tersebut.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati daun ketum yang diproses itu dijual pada harga RM10 sebungkus dan dijual kepada penduduk sekitar kampung berkenaan.

"Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah itu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. - Bernama

Artikel Berkaitan: