KPLB tumpu pembangunan sosioekonomi, modal insan

Rina melihat produk sos cili keluaran usahawan tempatan ketika melawat gerai pameran pada Program Komuniti Sejahtera di PPR Perkasa, Kuala Lumpur hari ini.
Rina melihat produk sos cili keluaran usahawan tempatan ketika melawat gerai pameran pada Program Komuniti Sejahtera di PPR Perkasa, Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memberi tumpuan terhadap pembangunan sosio ekonomi dan modal insan dalam pelaksanaan prinsip Wawasan Kemakmuran Bersama yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, tumpuan itu seiring dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.

Rina juga yakin masyarakat luar bandar boleh berjaya jika mereka menerima bantuan, motivasi dan inspirasi.

"Contohnya seorang usahawan di Melaka mampu mencapai hasil jualan sehingga RM80 juta berbanding RM1 juta pada tahun lalu," katanya pada Program Komuniti Sejahtera di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hala tuju kementeriannya dalam pelaksanaan prinsip Wawasan Kemakmuran Bersama yang dirancang untuk dilaksanakan bagi merapatkan jurang kemiskinan antara negeri kaya dan miskin, bandar dan luar bandar serta pendapatan pekerja.

Rina menyampaikan sumbangan kerusi roda pada Program Komuniti Sejahtera di PPR Perkasa, Kuala Lumpur hari ini.
Rina menyampaikan sumbangan kerusi roda pada Program Komuniti Sejahtera di PPR Perkasa, Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Rina berkata, kementerian juga akan membantu mengubah sikap masyarakat luar bandar.

Artikel Berkaitan:

"Kita tak mahu mereka merasakan bahawa jika mereka berniaga di luar bandar mereka tidak boleh pergi jauh. Sebab itu kita juga ada Program 'Rural to Global' yang membuka peluang kepada mereka pergi ke luar negara dan jual produk mereka.

Ditanya tumpuan di negeri yang dikategorikan miskin iaitu di Perlis, Kedah dan Kelantan, beliau memberitahu, kementeriannya akan memberi fokus secara bersasar di kawasan miskin luar bandar.

"Kita akan teruskan program sedia ada misalnya di Kedah kita laksanakan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) di mana sebanyak tujuh kampung digabungkan dan tanah terbiar di kawasan itu dibangunkan secara bersama dengan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).

"Kita buat kajian di tanah itu untuk menentukan tanaman sesuai.Pilihan tanaman ialah jagung dan projek itu dimulakan pada Februari lalu. Pada Jun lepas sudah menjana pendapatan tambahan kepada penduduk antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan," kata beliau.