Saya terus capai bayi dan lari: Mangsa tsunami

Yulia bersama bayi lelakinya yang baru lahir ketika ditemui di pusat penempatan sementara di Masjid Cigondang, Labuan.
Yulia bersama bayi lelakinya yang baru lahir ketika ditemui di pusat penempatan sementara di Masjid Cigondang, Labuan.
A
A
A

BANTEN, INDONESIA. Rata-rata mangsa tsunami yang ditemui di beberapa pusat penempatan sementara di daerah Labuan memberitahu mereka menyelamatkan diri dengan berlindung di hutan.

Ketika itu, mereka hanya sempat mencapai anak masing-masing tanpa memikirkan untuk barangan lain.

Malah kongsi mangsa yang ditemui, bunyi jeritan meminta tolong jelas kedengaran di mana-mana.

Daerah ini terletak di tepi laut dengan keluasan 15,66 kilometer persegi dan tiga kampung paling hampir dengan pantai iaitu Desa Cigondang, Desa Teluk dan Desa Caringin yang terjejas teruk dengan amukan gunung berapi Anak Krakatau itu.

Tiada langsung tanda-tanda bakal berlaku tsunami di kawasan itu menyebabkan mereka panik untuk menyelamatkan diri.

Malah difahamkan cuaca sangat baik pada malam 22 Disember itu.

Ibu muda, Yulia dari Kampung Cigondang, Labuan berkata, dia tidak memikirkan keadaan diri yang baru melahirkan anak dan sedang berpantang masuk hari ketujuh.

Artikel Berkaitan:

Ketua Misi, Shamsul Anwar M.Busra menyampaikan sumbangan kepada Yulia di Masjid Cigondang, Labuan.
Ketua Misi, Shamsul Anwar M.Busra menyampaikan sumbangan kepada Yulia di Masjid Cigondang, Labuan.

"Masa itu saya tak fikir apa-apa. Tak sempat fikir nak bawa apa, saya terus capai bayi saya dan lari.

"Selimut, baju anak langsung tak sempat ambil tapi Alhamdulillah kami selamat," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Masjid Cigondang yang menempatkan ratusan mangsa tsunami.

Dia juga bersyukur ada saudara maranya yang membantu dari segi kelengkapan bayi lelakinya itu.

Seorang lagi mangsa tsunami, Ida Jaya dari Desa Teluk, Labuan berkata, ketika kejadian dia hanya memikirkan keselamatan anaknya yang masih kecil.

"Semua lari ke hutan, panik tak bawa apa-apa cuma bawa anak. Semua sangat panik jadi kami ikut lari ke hutan terdekat.

"Alhamdulillah semuanya selamat cuma sekarang anak-anak tak sihat. Keperluan di sini kurang, makanan, lampin bayi memang tak ada di sini," katanya ketika ditemui di sekolah agama di Desa Caringin, Labuan.

Anak-anak yang berlindung di sekolah agama Desa Caringin ceria menerima kehadiran sukarelawan Serantau Muslim.
Anak-anak yang berlindung di sekolah agama Desa Caringin ceria menerima kehadiran sukarelawan Serantau Muslim.

Dua kawasan penempatan ini sesak dengan ratusan penduduk yang berhimpit-himpit terutama pada waktu malam selepas rumah mereka ditenggelami air dan rosak susulan tsunami.

Malah ada juga rumah penduduk yang hanyut dibawa arus selain kapal-kapal digunakan mencari rezeki tenggelam di sungai.

Beberapa hari selepas tsunami melanda, kampung-kampung tersebut dilanda banjir setinggi empat meter dipercayai juga susulan aktiviti dari gunung berapi Anak Krakatau.

Tinjauan Sinar Harian mendapati mangsa yang ditempatkan di pusat penempatan sementara ini sangat memerlukan bekalan air bersih, makanan boleh terus dimakan, keperluan dan makanan bayi, pakaian, selimut dan alas tempat tidur.

NGO Serantau Muslim menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia bernilai RM10,000 berbentuk beras, minyak, gula, selimut dan alas tidur di sekitar daerah ini.

Pada misi kecemasan kumpulan kedua yang dijangka akan dihantar Januari ini, Serantau Muslim mensasarkan dana sebanyak RM50,000.

Orang ramai yang ingin berbuat demikian boleh melayari bantuankecemasan.com.