Jual MyKad: KDN arah Ketua Pengarah JPN beri kerjasama penuh

Muhyiddin -Foto Bernama
Muhyiddin -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara supaya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi jalankan siasatan berhubung kes sindiket pengeluaran dokumen pengenalan diri palsu atau seumpamanya.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau bersubahat dalam melakukan perbuatan khianat sedemikian.

"Saya ingin merujuk kepada tangkapan 20 orang individu termasuk pegawai Jabatan Pendaftaran Negara yang terlibat dalam sindiket penjualan MyKad dan sijil lahir kepada warga asing. Ingin ditegaskan bahawa perbuatan tersebut adalah satu pengkhianatan besar kepada negara dan pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat secara langsung.

"Ketua Pengarah JPN telah diarahkan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam apa jua siasatan membabitkan kes ini atau kes-kes seumpama ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Jual MyKad: SPRM akan siasat jika ada maklumat jelas

"Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab ke atas proses permohonan kad pengenalan diri di Malaysia. Proses permohonan sedia ada adalah jelas dan semua permohonan yang lengkap akan diproses secara adil," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi status yang dimuat naik ke dalam akaun Facebooknya semalam.

Tambahnya, KDN menasihatkan orang ramai agar mengikut proses tersebut dan tidak sama sekali cuba untuk mendapatkan sebarang jenis dokumen melalui saluran yang tidak betul.

Artikel Berkaitan:

Kata Muhyiddin lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sindiket pengeluaran dokumen secara tidak sah diminta hubungi pihak berkuasa dengan segera.