Cuepacs kecam perbuatan penjawat awam jual MyKad

Azih
A
A

KOTA BHARU - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengecam perbuatan penjawat awam yang mengkhianati amanah yang diberikan dan sanggup bersekongkol dengan sindiket penjualan dokumen pengenalan diri (MyKad) kepada warga asing.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, tindakan penyelewengan itu bukan perkara biasa dan tidak dapat diterima pihaknya.

"Cuepacs kecewa dengan kes tersebut. Di saat kita bercakap tentang soal integriti, keluhuran dan amanah, masih ada penjawat awam yang mementingkan diri sanggup menjual maruah dan negara.

"Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) satu jabatan penting yang memastikan negara dihuni oleh warga negara secara sah mengikut undang-undang yang ditetapkan. Apa yang dilakukan kita tidak boleh terima sama sekali dan seolah telah menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap penjawat awam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan Persidangan Tritahunan Perwakilan Cuepacs Negeri Kelantan di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Cuepacs Kelantan, Aminuddin Awang.

Kesemua tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Georgetown, Khamis lalu.
Kesemua tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Georgetown, Khamis lalu.

Pada 11 September lalu, polis berjaya membongkar sindiket penjualan dokumen pengenalan diri MyKad kepada warga China yang didalangi pegawai JPN.

Kes itu terbongkar selepas pegawai Jabatan Imigresen membuat laporan polis berikutan permohonan pasport oleh seorang pemegang MyKad sah, namun pemohon didapati tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dipercayai berlaku pada Mei lalu.

Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul Ariffin, 34, antara enam individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang berhubung sindiket penjualan sijil kelahiran dan MyKad sah kepada warga asing.

"Dalam hal ini kami melihat kerajaan perlu adakan proses semak dan imbang untuk pastikan perkara tersebut tidak lagi berulang. Perlu ada perimbangan dari segi sumber manusia dan tidak hanya bergantung kepada mesin bagi pengesahan MyKad," katanya.

Kesemua tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Georgetown, Khamis lalu.
Kesemua tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Georgetown, Khamis lalu.

Dalam pada itu Azih berharap kerajaan akan membuat pertimbangan sewajarnya terhadap isu berkaitan penjawat awam dalam bajet 2020 nanti termasuk isu semakan gaji yang hampir 17 tahun tidak dilaksanakan selain insentif. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 6 termasuk pegawai JPN Pulau Pinang didakwa jual MyKad

Sindiket jual MyKad: Pegawai kanan JPN akan didakwa

JPN lapor polis isu warga China dapat MyKad