Rim, spoiler jadi petunjuk

No Image Caption
A
A
A

TEMERLOH - Aksesori kereta iaitu spoiler dan rim tayar yang dilihat pada berita kemalangan di televisyen menggerakkan hati seorang kakak untuk mencari adiknya yang sudah dua hari gagal dihubungi.

Mastura Hashim, 53, berkata, dia menonton siaran berita itu pada 22 Ogos yang memaklumkan pihak polis masih mencari waris kepada mangsa kemalangan maut di Triang, Bera dekat sini, yang berlaku pada awal pagi 20 Ogos lepas.

"Saya mengenali spoiler dan rim kerana begitu serupa dengan kereta dibeli suami adik... tambahan pula, saya baru melihat kereta itu sebulan lalu semasa kami berkumpul di Triang semasa emak mentua saya meninggal dunia.

"Saya minta anak ke balai polis bagi mendapatkan lebih maklumat berhubung kereta itu dan dapati beberapa deskripsi diberikan menepati kereta suami adik seperti awalan nombor pendaftarannya," katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini hari ini.

Mastura hadir bagi menuntut jenazah adiknya Rosidah, 46, dan anak lelaki mangsa Abdillah Nila, 17, yang maut bersama-sama warga Pakistan, Sher Zaman Khan, 35, yang merupakan suami kepada Rosidah.

Sher Zaman Khan merupakan suami ketiga kepada mangsa dan mereka baru berkahwin tiga bulan lepas manakala Abdillah merupakan anak Rosidah menerusi perkahwinan keduanya.

Semua mangsa ditemukan rentung selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka terbabas dan melanggar dua buah lori di laluan bertentangan pada kejadian 6.15 pagi, 20 Ogos lalu di Kilometer 43, Jalan Temerloh-Bahau dekat sini.

Sementara itu, adik kepada Rosidah, Mohd Nor, 43, berkata ketika kejadian, Allahyarham difahamkan dalam perjalanan ke rumah Mastura di Triang untuk berjumpa seorang lagi anaknya hasil perkahwinan terdahulu yang tinggal di situ.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Allahyarham yang bekerja sebagai tukang masak juga dikenali sebagai seorang yang suka merantau untuk mencari kerja dan pernah menetap di Perak, Kuala Lumpur dan Pahang.

"Jenazah kakak dan anaknya akan dibawa pulang ke Bangi, Selangor untuk disempurnakan memandangkan ramai saudara-mara kami di situ, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Alif, Johor Bharu," katanya.

Sementara itu, abang kepada Sher Zaman Khan, Sher Hakim Khan, 43, berkata, jenazah adiknya yang sudah sembilan tahun menetap di Malaysia dan bekerja di kedai perabot itu akan dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Identiti tiga mangsa rentung dikenal pasti