Penganjur HPU boleh ambil tindakan terhadap DBKL: Khalid

Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penganjur Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) disaran mengambil tindakan terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekiranya tidak berpuas hati dengan tindakan pihak terbabit yang menurunkan bunting program tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, semua pihak sama ada penganjur mahu pun pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bertanggungjawab mematuhi peraturan, syarat dan prosedur yang ditetapkan.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang terkilan boleh mengambil tindakan sewajarnya.

"DBKL mengambil tindakan menurunkan bunting berasaskan perlanggaran syarat kelulusan dan jika penganjur mendakwa tindakan itu tidak sah, sila ambil tindakan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, aktivis masyarakat, Datuk Mohd Razlan Rafii mengajak penyokong UMNO-Pas berarak ke DBKL selepas HPU susulan arahan penurun bunting berkenaan.

Khalid dalam ciapan balas di Twitternya berkata, permohonan hanya untuk 150 bunting, tetapi telah pasang lebih 1,000 bunting.

Mengulas lanjut, Khalid berkata sekiranya terdapat bukti bahawa tindakan DBKL itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan peraturan, PBT berkenaan seharusnya bertanggungjawab malah tindakan tatatertib perlu diambil terhadap pelaku terlibat.

"Tiada siapa kebal atau mengatasi undang-undang dan peraturan. Ini Malaysia ku Bersih," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, DBKL juga tidak mengenakan sebarang bayaran bagi pemasangan 150 unit bunting yang diluluskan untuk majlis berkenaan.